BERBUSANA moden kontemporari membuatkan seorang wanita itu tampil penuh anggun dan mempesona.
Lebih-lebih lagi, untuk digayakan pada hari-hari yang istimewa.
Bukan sahaja rekaan menarik yang perlu dititikberatkan, aspek keselesaan juga perlu diberi perhatian agar memudahkan pergerakan si pemakai.
Tidak berapa lama lagi, umat Islam akan meraikan lebaran selepas berpuasa selama sebulan. Tidak hairanlah saat ini, ramai yang sudah mula memikirkan persiapan.
Peminat busana Aidilfitri penuh moden pastinya mahukan pakaian yang bukan sahaja cantik tetapi juga selesa untuk dipakai seharian.
Label pakaian wanita moden Malaysia, RAEA melancarkan koleksi pakaian Aidilfitri pertamanya tahun ini yang bertemakan moden kontemporari.
Koleksi RAEA Raya 2024 direka khusus untuk menyempurnakan gaya wanita Malaysia yang moden dan sofistikated.
Sebanyak 22 helai pakaian diperkenalkan untuk koleksi ini yang dihasilkan daripada pelbagai fabrik berbeza termasuk satin dan organza.
Dalam rekaan pula, gabungan perincian seperti renda, lipatan atau pleats dan jahitan ruching dipertaruhkan, sesuai buat wanita yang mahu tampil menawan.
Menurut Pengarah kreatif RAEA, Ian Ebrizal, koleksi lebaran sulungnya itu cukup eksklusif dan nama-namanya diambil sempena nama beberapa individu penting yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam bidang fesyen.

Antaranya adalah Zaharah, Fatima, Laili dan Sofiyan.
“Koleksi ini juga mengaplikasikan estetika kontemporari dan direka supaya mudah digayakan pada hari-hari santai,” kata Ian.
Tambah jejaka tinggi lampai itu, koleksi tersebut juga tampil mewah apabila dihasilkan menggunakan fabrik mewah, palet warna yang menarik serta perincian penuh halus.
Malah, setiap helaian bagi koleksi itu diberi sentuhan kontemporari yang menawarkan gabungan gaya dan juga keselesaan.
Pilihan rona berani seperti fuschia, merah hati, mauve dan teal dengan potongan elegan pastinya bakal menyerlahkan seri pemakai.
Buat yang mahukan gaya sedikit ringkas dan tidak terlalu menonjol, pilihan busana daripada rona-rona seperti coklat gelap, dusty blue dan champagne turut ditawarkan.
Ian berkata, pihaknya juga amat menitikberatkan siluet penuh praktikal.
Justeru, setiap helaian busana Aidilfitri ini juga boleh digayakan secara berasingan bersama pakaian sedia ada.
Sebagai contoh, set busana Zaharah boleh digayakan bersama seluar palazo atau jean untuk mendapatkan gaya yang lebih ranggi.
“Saya percaya daripada pilihan pakaian yang ringkas dan selesa untuk menerima kunjungan tetamu, sehinggalah pakaian yang lebih sofistikated saat menghadiri acara rumah terbuka, koleksi ini mampu memikat hati wanita Malaysia sempena Hari Raya Aidilifitri kelak,” ungkapnya.
Koleksi lebaran tersebut boleh didapati pada harga antara RM279 sehingga RM399.














