fbpx

Babi hutan kurang punca harimau belang keluar hutan – Kok Lim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Lim (tiga dari kanan) melambung lou sang di Marina Island, Lumut, hari ini.

LUMUT – Kekurangan jumlah babi hutan yang menjadi makanan harimau belang, antara punca utama haiwan tersebut ditemui berkeliaran di kawasan-kawasan kampung di negeri ini.

Terbaharu, tapak kaki harimau belang ditemui di Kampung Ulu Kuang dekat Chemor, di sini, kelmarin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, pihak kerajaan negeri dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sedia maklum dengan masalah berkenaan dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengatasi isu tersebut.

“Kita memang menghadapi sedikit masalah berhubung rantaian bekalan makanan harimau belang. Ia adalah disebabkan kekurangan bilangan babi hutan.

“Jadi kita sedang merancang dan mencari jalan penyelesaian bagi isu ini. Dalam masa terdekat kita akan mulakan program (bagi mengatasi isu harimau belang keluar hutan),” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media berhubung penemuan tapak kaki harimau belang di Kampung Ulu Kuang dekat Chemor, di sini kelmarin.

Terdahulu, beliau menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di Marina Island di sini yang menyaksikan orang ramai melambung isi lou sang sepanjang 72 meter disediakan pengurusan pulau berkenaan.

Mengulas lanjut, Kok Lim berkata, orang ramai diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga ekoran penemuan tapak kaki harimau belang di Kampung Ulu Kuang berkenaan.

“Jika perlu ke hutan, pastikan anda tidak berseorang dan ditemani oleh orang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI