fbpx
Gambar hiasan

Beza upah ancam nasib orang tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELIHAT barisan-barisan kedai runcit, restoran, sektor perhotelan dan kerja-kerja kampung seperti memotong rumput serta menoreh getah mula dimonopoli pekerja warga asing menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat tempatan.

Tinjauan di lokasi tarikan di ibu negara juga mendapati pelancong yang ingin menerokai negara ini kebanyakan disambut oleh warga asing.

Perbahasan berhubung isu sudah pastinya soal kadar upah yang dikenakan terhadap pekerja warga asing lebih rendah berbanding mengambil pekerja tempatan.

Rata-rata mereka sanggup menerima upah antara RM50-RM70 sehari untuk menampung kehidupan seharian sebelum majoriti wang itu dihantar ke kampung halaman di luar negara.

Perkara ini jelas mengganggu pasaran upah yang mana pekerja tempatan memerlukan antara RM100 ke RM120 bagi kerja yang sama.

Bagi majikan, situasi itu pasti dianggap sebagai ‘durian runtuh’ apabila hanya perlu membayar upah yang kecil untuk kerja yang tidak jauh beza.

Jika hal ini berlarutan, masyarakat tempatan sendiri akan mula terkebil-kebil mencari pekerjaan yang bersesuaian kadar upah dengan mereka buat menampung keluarga di rumah.

Meskipun Dasar Gaji Progresif sedang dirangka oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dan projek rintisnya dijangka dimulakan Jun ini, majikan juga perlu mengambil inisiatif sendiri dalam memastikan kebajikan pekerja tempatan turut terbela.

Kita semua pasti tidak mahu masyarakat tempatan sendiri dijadikan pilihan kedua.

Dalam hal ini, terdapat beberapa faktor mengapa pekerja tempatan memerlukan upah yang bersesuaian antaranya perlu menampung keperluan keluarga, sewa rumah, hutang, dan cukai.

Perkara ini sangat berbeza dengan pekerja warga asing yang hanya menampung keperluan diri sendiri.

Pendapat itu turut diutarakan Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem dalam satu temu bualnya berkata, terdapat jurang upah yang sangat tinggi antara pekerja warga asing dan warga tempatan.

Tambah beliau, pekerja tempatan berhak menuntut wang upah yang lebih tinggi atas dasar mempunyai tanggungan keluarga yang lebih besar dan tanggungjawab yang lain.

Menurutnya, tanggapan bahawa warga tempatan malas bekerja adalah sangat tidak tepat malah kebanyakkan sanggup bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) asal gajinya setimpal.

“Contoh gaji potong rumput warga tempatan minta upah RM100. Datang pula warga asing mereka tawarkan RM70 sahaja, memang dia boleh letak harga RM70 sebab dia hanya perlu sara diri sendiri sahaja,” ujarnya.

Tegas beliau, majikan mula mengeksploitasikan kadar upah tersebut dengan memilih warga asing untuk menjadi pilihan utama tanpa memikirkan domino effect yang bakal terjadi.

“Bagaimana pekerja tempatan pula mahu buat kerja RM70? dia sudah hilang RM30 di situ, (andaikan) dia ada enam orang anak, bagaimana untuk tampung kewangan itu.

“Ini berbeza dengan warga asing yang tinggal beramai-ramai enam ke sepuluh orang satu rumah,” ujarnya.

Penulis berpendapat, perkara ini perlu dikawal demi menjaga ‘perut’ masyarakat yang kian terancam sehingga sektor ekonomi gig menjadi taruhan.

Tanggapan generasi muda malas juga perlu ditolak kerana rata-rata mereka sanggup bekerja di luar negara di dalam sektor 3D.

Diharapkan majikan dapat bertoleransi dalam mengambil pekerja tempatan dengan upah yang lebih tinggi berbanding warga asing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN