fbpx

5 anggota MPV dituduh peras ugut pekerja kilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima anggota MPV dibawa bersama tahanan lain tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan wang bernilai RM4,500 terhadap pekerja kilang di Jalan Permatang Tinggi, 1 Februari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh iaitu Sarjan Rozaini Abu Hassan,48; Koperal Muhammad Mustaqim Ismail,35; Lans Koperal Muhamad Syakir Haikal Hasli,24; Koperal Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi 38; dan Lans Koperal Muhamad Khusairi Ahamad 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki berusia 28 tahun yang dikatakan telah melakukan kesalahan kerana memiliki dadah berbahaya sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM4,500.

Perbuatan itu dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi menghala ke Simpang Ampat kira-kira pukul 10.15 malam, 1 Februari lepas.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa raya Negeri, Mohd Nordin Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam V.S. Kumar.

Terdahulu Mohd Nordin mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan kesemua mereka tidak dibenarkan mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Kumar merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan anak guamnya dengan alasan masing-masing perlu menanggung isteri, anak-anak termasuk anak orang kelainan upaya (OKU).

Mahkamah kemudiannya menetapkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan jaminan akan ditarik sekiranya mana-mana tertuduh atau pihak mewakili mereka mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 15 Mac depan untuk serahan dokumen dan kesemua tertuduh membayar wang jaminan yang dikenakan ke atas mereka.

Terdahulu, pihak media berdepan kesukaran merakamkan wajah kesemua tertuduh susulan masing-masing dibawa bersama sekumpulan tahanan lain termasuk salah seorang daripadanya mengenakan pakaian berlainan semasa berada dalam kamar mahkamah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI