fbpx

Mayat ditemui mengiring dalam longkang di Lebuh Raya Duke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GOMBAK – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan mengiring di dalam longkang di Kilometer 5.1 Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) dari Gombak menghala ke Sentul, di sini, pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.08 pagi.

“Siasatan awal mendapati terdapat satu mayat lengkap berpakaian berada di dalam longkang berkenaan dalam keadaan mengiring.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dengan terdapat kecederaan pada kaki dan badannya.

“Kita turut menemui barang dipercayai milik mangsa seperti topi keledar, seluar, telefon bimbit di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, mayat dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

Jelasnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Sarjan Aktiviti Balai Polis Gombak, Sarjan Sarjeet Singh Pretam Singh di talian 019-200 4310.

“Selain itu, boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI