fbpx

88 pelajar ikuti Program Kepimpinan Muda TH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peserta yang terlibat dalam Program Kepimpinan Muda TH di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

PETALING JAYA – Seramai 88 pelajar sekolah menengah dari seluruh daerah di Selangor menyertai Program Kepimpinan Muda Tabung Haji (TH) (TH Young Leadership Series 2024).

Program yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu diadakan selama dua hari bermula 5 Februari 2024 di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur.

TH melalui satu kenyataan berkata, program tersebut menghimpunkan pemimpin pelajar dan juga pelajar cemerlang daripada 22 buah sekolah luar bandar terpilih yang mempunyai potensi untuk meningkatkan kemahiran daya kepimpinan melalui pelbagai pengisian yang interaktif dan bermanfaat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, penganjuran program kemasyarakatan yang julung kali diadakan itu merupakan platform perkongsian ilmu dan menimba pengalaman daripada tokoh-tokoh industri yang berjaya bagi menyemai tunas inspirasi kepada para peserta.

“Sebagai sebuah institusi pengurusan haji negara dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, TH berasa terpanggil untuk menyediakan ruang dan peluang bagi para pemain industri dan profesional daripada pelbagai organisasi unggul termasuklah TH sendiri untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman kepada generasi pelapis yang bakal mengemudi sesebuah organisasi mahupun pentadbiran negara pada masa akan datang.

“TH amat prihatin dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap sebarang usaha pembangunan generasi muda terutamanya dalam kalangan pelajar luar bandar yang mungkin lebih memerlukan dari sudut pendedahan serta kemudahan dan kelengkapan pembelajaran agar dapat bergerak seiring dengan kemajuan semasa.

“Justeru, TH mencetuskan idea untuk membina satu program modul kepimpinan yang kolektif bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berkualiti sekaligus menjadi duta remaja TH,” katanya.

Program tersebut menampilkan tokoh industri terkenal Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan yang berkongsi kepada para peserta
mengenai falsafah kepimpinan, kualiti yang diperlukan, cabaran dan pengajaran daripada pengalaman peribadi sepanjang karier beliau.

Para peserta turut mengikuti modul pemantapan sahsiah rohani melalui sesi ceramah oleh selebriti televisyen terkenal, Ustaz Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin yang juga merupakan ahli kumpulan nasyid UNIC.

Di samping itu, kemahiran kepimpinan para peserta turut diuji melalui pelbagai aktiviti berkumpulan yang turut melibatkan Pengurusan Tertinggi TH sendiri. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI