fbpx
Nur Nazatul Husna menunjukkan kesan tapak tangan dan umpilan pada tingkap biliknya ketika ditemui di Kampung Durian Daun, Rembau semalam.

Sekampung tak lena tidur risau rumah dipecah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Beberapa kes pecah rumah yang berlaku di Kampung Pilin dan Durian Daun di sini sejak lapan hari lalu menyebabkan penduduknya tidak lena tidur malam kerana bimbang mereka menjadi sasaran seterusnya.

Terbaharu, seorang guru tadika, Nur Nazatul Husna Fairul ­Syukri, 24, berkata, rumahnya hampir menjadi sasaran sete­rusnya selepas didatangi pe­rompak pada pukul 12.30 tengah malam semalam.

Katanya, ketika itu dia terde­ngar bunyi tapak kaki di belakang bilik air dan cubaan mengumpil tingkap ketika dia sedang mandi.

“Saya baru balik dari rumah nenek, Jahra Rasul, 72, yang terletak bersebelahan kerana belajar petua melumurkan badan dan muka dengan campuran kunyit serta beras hancur kerana saya bakal berkahwin Sabtu ini.

“Biasanya saya akan pakai sampai subuh tetapi malam tadi (semalam) saya rasa tidak selesa dan terus mandi. Biasanya saya tidur pada pukul 10.30 malam dan tidak sangka petua itu jadi penyelamat,” katanya ketika ditemui di Kampung Durian Daun di sini.

Menurut Nur Nazatul Husna, kejadian itu menyebabkan dia takut untuk tinggal di rumah ke­rana dia dan keluarganya pernah disamun sewaktu dia kecil.

Tambahnya, penduduk kampung berharap supaya penjenayah segera ditangkap selepas mereka melakukan rondaan bersama anggota polis pada waktu malam.

“Pemeriksaan ada menemui kesan tapak tangan dan umpilan pada tingkap selain tapak kaki menghala ke hutan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, terdapat dua kes pecah rumah dan tiga cubaan rompak berlaku di kampung itu ketika ini.

“Kita sedang menyiasat dan sudah ada suspek warga Indonesia berdasarkan penemuan dokumen di lokasi kejadian pada 29 Januari lalu,” katanya yang menggesa maklumat disalurkan ke polis Rembau di talian 06-685 1999.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan empat lelaki bertopeng menyamun dua buah rumah di Kampung Pilin, di sini mengundang padah apabila mereka dikejar hingga beg salah seorangnya mengandungi barang berharga berjaya dirampas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN