PENAMPILAN pelakon Uqasha Senrose dilihat semakin berbeza sejak berbadan dua, wajahnya semakin berseri-seri tanda bahagia untuk bergelar seorang ibu.
Masakan tidak, sejak mendirikan rumah tangga dengan aktor Kamal Adli pada 5 November 2021, sudah dua kali Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, mengalami keguguran kandungan.
Kali pertama selepas pulang daripada mengerjakan umrah beberapa bulan usai pernikahannya dan kali kedua, sekitar November 2022.
Lantas, kehamilan ketiga menjadi sesuatu yang sangat dinanti-nantikan Uqasha dan suaminya Kamal. Biarpun berita kehamilannya sudah bertebaran sejak awal, namun Uqasha memilih untuk merahsiakan dahulu kisah gembiranya daripada pengetahuan umum.
“Sebab pernah keguguran, jadi saya takut. Awal-awal memang saya rahsiakan dan bila orang tanya saya buat tidak tahu.
“Tetapi rasa tidak baik dan rasa bersalah apabila orang doakan keselamatan saya, saya pula buat tidak tahu.
“Selepas saya umumkan kehamilan di Instagram tempoh hari tiada lagi pertanyaan yang diterima sebaliknya hanya doa-doa. Alhamdulillah terima kasih buat semua yang mendoakan saya,” ujar Uqasha membuka bicara.
Kongsi Uqasha lagi ketika awal kehamilan, dia beruntung mampu menyembunyikan perut kerana watak di dalam drama adalah seorang wanita mengandung.
“Masa dapat tahu sahaja saya hamil selain suami, saya beritahu juga pihak produksi. Selepas apa yang berlaku (keguguran) saya sudah tidak mahu ambil risiko.
“Jika ditakdirkan nama saya digugurkan daripada drama kerana hamil pun saya reda sebab anak lebih penting. Tetapi pihak produksi tetap memilih saya dan mereka menjaga saya dengan baik sepanjang penggambaran.
“Awal-awal memang orang tidak perasan saya hamil sebab watak saya perlu mengandung. Jadi, saya pakai sahaja perut sendiri (ketawa). Selepas perut semakin membesar memang tidak dapat sorok lagi,” kata Uqasha.
Bercerita tentang kesediaan bergelar seorang ibu, Uqasha hanya melemparkan senyuman manis sambil mengusap-usap perutnya.
Kata Uqasha ini adalah pengalaman pertama, oleh itu dia tidak tahu apa yang akan berlaku kerana pengalaman setiap ibu adalah berbeza.
“Saya tidak tahu apa yang ingin dijangkakan? Saya banyak bertanya kepada ibu saya dan orang sekeliling. Fikir hendak bersalin memang takut dan berdebar.
“Tetapi apabila rasa gerakan dan tendangan bayi dalam kandungan pun sangat bahagia. Baru saya tahu inilah perasaan wanita mahu menjadi ibu.

Bahagia
“Saya tidak tahu bagaimana hendak diluahkan dengan kata-kata tetapi saya gembira dan bahagia walau ada masanya perut saya sakit dan tiba-tiba mengeras, itu perjalanan yang harus saya lalui dan akan kenang kemudian hari,” kongsinya.
Disoal tentang persiapan menyambut kelahiran anak sulung, bintang drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu hanya akan membeli barangan kelengkapan bayi selepas majlis doa selamat yang akan diadakan kelak.
“Jantina bayi hanya akan diumumkan pada majlis doa selamat yang akan saya langsung tidak lama lagi. Bukanlah ‘gender reveal’ ala Barat tetapi saya pilih majlis doa selamat dan ikut tradisi seperti majlis melenggang perut.
“Selepas itu barulah saya akan beli barang-barang keperluan bayi. Jujur, saya tidak tahu hendak mulakan daripada mana, nasib ada ibu yang beri nasihat,” ceritanya.

Rezeki anak
Bersedia mahu memperlahankan karier lakonan sejak awal kehamilan, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila Uqasha terus dihujani tawaran, termasuk menjadi duta produk barangan bayi.
Bukan itu sahaja, peminat juga dapat menyaksikan perjalanan kehamilan, bersalin dan berpantang Uqasha menerusi sebuah program Astro tidak lama lagi.
“Dari dalam perut lagi anak sudah dapat ‘job’ (ketawa). Selain berlakon, saya menerima tawaran menjadi duta produk bayi dan susu kambing.
“Alhamdulillah rezeki anak. Kamal juga sekarang semakin sibuk dengan kerja. Dia memang ambil semua kerja yang ditawarkan kerana mahu membuat persiapan saya dan anak,” kata Uqasha.
Uqasha yang memilih untuk bersalin secara normal mendedahkan, tidak akan berehat panjang, sebaliknya mengikut tempoh berpantang wanita bekerjaya yang lain sekitar dua bulan.
“Sama seperti orang lain. Cuma persiapan soal bidan yang akan menjaga ketika pantang dan siapa yang akan menjaga anak ketika bekerja semuanya sudah difikirkan.
“Selain berlakon, saya juga akan fokus dengan perniagaan sendiri. Saya memang jenis tidak boleh duduk diam, sekurang-kurang dalam tempoh berehat (berpantang) ada juga kerja yang boleh saya lakukan walau hanya dari rumah,” kongsi Uqasha lagi.
Sebelum menutup bicara, Uqasha sempat memohon agar peminat dan orang ramai mendoakan keselamatan dan kesejahteraan dirinya sehingga bersalin.
“Ketika mengandung dan bersalin apa sahaja boleh berlaku. Saya berharap agar semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Doakan saya,” mohon Uqasha.















