TERKENAL dengan gaya penyampaian penuh melankolid menerusi beberapa karya cinta bergenre balada, Imran Ajmain boleh dikatakan antara penyanyi yang mampu ‘mencairkan’ perasaan sesiapa sahaja hanya dengan lontaran vokalnya.
Setiap seni kata yang terbit dari bibirnya dan ditambah dengan gaya nyanyian penuh mempesona, cukup menyerlah Imran sebagai penyanyi lelaki dengan identiti tersendiri.
Dendangannya seperti Seribu Tahun, Selamat Ulang Tahun Sayang, Jika Engkau Pergi dan Dikalung Kasihan sehingga kini kekal terpahat dalam hati penggemar walaupun selepas bertahun-tahun sepi tanpa buah tangan baharu.
Hilang, namun tak tenggelam, angka 2024 kembali memantulkan sinar di halaman seni Imran apabila buat pertama kalinya berpencak secara solo di rumah keduanya, Malaysia, menerusi konsert Malam Seribu Tahun Imran Ajmain: Kuala Lumpur pada 2 dan 3 Februari lalu.

Konsert solo Malaysia
Bertempat di The Platform, Menara Ken, TTDI, malam Jumaat lalu menjadi saksi kredibiliti dan kesungguhan penyanyi berusia 42 tahun itu dalam memberikan yang terbaik untuk peminat setianya.
Lebih membanggakan, tiket konsert yang berlangsung sebanyak dua malam itu habis terjual, sekali gus membuatkan air matanya mengalir membasahi pipi.
“Alhamdulillah. Bila saya dikhabarkan tiket konsert selama dua hari habis terjual, saya menangis. Ketika saya beritahu ibu saya di Singapura, dia juga menangis sebak.
“Saya sendiri tidak sangka masih ada peminat setia di Malaysia yang ternanti-nantikan konsert di sini. Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah menjangkakan perkara ini akan berlaku,” katanya.
Membuka tirai persembahan, sorakan penonton bergema saat lelaki bertubuh tinggi lampai itu muncul di atas pentas dengan mendendangkan lagunya berjudul Taurus dan Intan Dan Perak.
Imran yang petah dalam berbicara semenangnya bijak menarik minat penonton dengan ucapan penuh bersahaja apabila mengakui gementar, lebih-lebih lagi persembahan Malam Seribu Tahun Imran Ajmain: Kuala Lumpur merupakan konsert solo pertamanya di sini.
Memori
Tanpa berlengah, Imran meneruskan acara dengan menyanyikan sebuah lagu rancak, Hanya Menari sekali gus menampilkan sisi berbeza dirinya apabila kelihatan cukup ligat di atas panggung.
Sorakan penonton memanas apabila alunan muzik lagu Di Kalung Kasihan bergema. Masing-masing ikut menyanyi dan tenggelam dalam alunan kegilaan ramai tersebut.

“Bertahun-tahun saya menunggu untuk merealisasikan impian mengadakan konsert di Malaysia. Tapi untuk menghabiskan konsert ini, cuma memakan masa dua jam.
“Terasa masa sangat pantas berlalu,” katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu berjudul Ghaib dan Mengaku Kalah.
Suasana yang mulanya riuh, tiba-tiba bertukar hening seketika apabila Imran mengimbas kembali memori kehilangan bapa tercinta, beberapa tahun lalu.
Ternyata, kehilangan lelaki yang dipanggil ayah itu meninggalkan kesan cukup mendalam buat dirinya sehingga suara tersekat-sekat.
“Kehilangan arwah ayah cukup memberi kesan kepada saya.
“Kalau dia masih ada, pasti hari ini dia akan ada di sini menyaksikan konsert saya,” luahnya sebelum menyanyikan lagu berjudul Nada Merindu.
Memasuki segmen kedua, Imran mengajak penonton untuk mengubah kebiasaan ketika menyambut ulang tahun kelahiran apabila menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi dengan menukar bait lirik menjadi Allah Selamatkan Kamu.
“Ada yang menyambut hari jadi pada bulan ini? Biasanya kita akan menyanyikan lagu Happy Birthday atau Selamat Hari Jadi.
“Apa kata selepas ini, kita tukar kepada lagu Allah Selamatkan Kamu, agar kita semua dilindungi olehNya,” ujar Imran yang sempat menghadiahkan lagu tersebut kepada penonton yang hadir.
Seusai menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu, Imran mengambil nafas sebelum menyanyikan lagu Selamat Ulang Tahun Sayang yang juga menjadi antara anthem ‘berhantu’ dendangannya.
Lagu-lagu ‘galau’
Masuk ke segmen terakhir, Imran yang terkenal dengan lagu-lagu cinta, sedar bahawa lagu nyanyiannya banyak digunakan peminat sebagai lagu latar dalam video yang menggambarkan kesedihan.
“Saya tahu lagu-lagu saya sering digunakan untuk video yang menggambarkan kesedihan, kekecewaan, cinta dan kerinduan oleh peminat.
“Sambil-sambil dalam kereta, rakam video di luar pun guna lagu saya yang sedih-sedih,” katanya mengusik penonton.

Imran seterusnya meneruskan acara dengan menyanyikan sebuah lagi lagu yang dinanti-nantikan peminat iaitu Jika Engkau Pergi yang sememangnya cukup mencabar vokal nyanyiannya.
Selesai meneguk segelas air, Imran terus membuai penonton dengan lagu Apa Salah Beta, Menimbang Rasa dan Harapan Kecewa.
Malam yang kian larut dilunakkan dengan sebuah lagi lagu rancak, Sudah Itu Sudah sebelum Imran memperkenalkan barisan pemuzik dan penyanyi latar yang mengiringi persembahannya pada malam tersebut.
Sesuai dengan judul konsertnya, Malam Seribu Tahun, Imran menutup acara dengan menyanyikan lagu yang telah memperkenalkan namanya dalam industri, termasuk di Malaysia, Seribu Tahun.
“Lagu ini telah mengubah perjalanan hidup saya sejak diperkenalkan pada sekitar 2005.
“Malah, lagu ini juga telah membawa nama saya ke Malaysia apabila digunakan sebagai lagu tema untuk sebuah drama di slot Samarinda.
“Untuk semua yang saya sayangi, Seribu Tahun untuk anda semua,” katanya sambil disambut sorakan riuh penonton.
Sebelum tirai dilabuhkan, Imran sekali lagi tidak dapat menahan air mata tanda sebak dan pada masa sama gembira serta terharu dengan sambutan hangat yang diberikan penonton.
Bertahun-tahun sepi dari panggung persembahan berskala besar, namun aura dan kegilaan peminat terhadapnya tidak pernah luntur. Imran Ajmain, satu nama yang selalu ‘tangguh’ di hati peminatnya. – KOSMO! ONLINE














