fbpx

Pengampunan Najib: Bukit Aman siasat kenyataan Tony Pua, dipanggil esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memangil bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja berhubung pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan itu bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja mengenai kuasa mutlak Yang Dipertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasa di bawah artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, Tony akan dipanggil bagi membantu siasatan pukul 1 tengah hari esok di Bukit Aman.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta berkongsi maklumat yang salah sehingga boleh mengganggu proses siasatan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Kelmarin, Tony yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya memuat naik beberapa hantaran di Facebook miliknya selepas keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.

Dalam pada itu, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI