fbpx
DATANG dan pergi, namun tak hilang bisa, Elly Mazlein percaya, rezeki Tuhan sentiasa ada. Dia juga enggan kerelevanannya mencabar apatah lagi menggugat kedudukan mana-mana selebriti.

Jangan takut bayangan Elly Mazlein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK minta diraikan apatah lagi disambut meriah, cukup untuk dihargai. Itu yang diharapkan Elly Mazlein apabila mula bergiat aktif dalam bidang pengacaraan tiga tahun lalu.

Sebelum ini, wujud khabar angin terdapat segelintir individu yang kurang senang dengan caranya mengendalikan sesebuah rancangan.

Paling teruk sehingga ada yang meluahkan mahu memboikot program dihoskan Elly, begitulah penangan kegilaan Kak Lina Pom Pom.

Tidak berkesudahan di situ, dia juga pernah mengejutkan ramai apabila menarik diri sebagai hos daripada program All Stars Gegar Vaganza tahun lalu. Keputusannya mencetuskan pelbagai teka-teki sehingga ramai membuat andaian sendiri.

Lama berdiam, pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu ketika ditemui HibGlam baru-baru ini bertegas, mana-mana individu yang berada dalam industri, terutama sesama pengacara tidak patut berasakan kehadirannya sebagai pihak lawan.

Bagi Elly, kehadirannya sebagai pengacara sejak beberapa tahun lalu adalah untuk memeriahkan industri selain menggunakan sepenuhnya bakat yang dianugerahkan Tuhan.

JANGAN sesekali berasa tergugat, itu dipesan berkali-kali Elly Mazlien kepada mana-mana individu yang melihat kehadirannya dalam dunia pengacaraan sebagai pencabar. – AMIR KHALID

“Jangan takut dengan kehadiran saya dan usah berilusi serta mencipta sesuatu yang tidak sepatutnya.

“Kita sama-sama mencari rezeki, Allah SWT sudah susun cantik semuanya untuk semua orang, cuma bezanya ialah cepat atau lambat.

“Saya hadir bukan sebagai pencabar sebaliknya mahu bersama-sama mencari rezeki dan tak perlu rasa tergugat apabila bekerja dengan saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Kedengaran seperti meluahkan perasaan yang sudah lama dipendam, Elly bagaimanapun cekap melentur suasana.

Katanya, dia memilih berdamai dengan rasa, menikmati bahagia seadanya berbanding melayan emosi kebencian buat individu lain.

Elly mahu terus melakukan kebaikan meskipun menyedari wujud individu yang tidak menyukai caranya.

“Saya jenis boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Saya okey sahaja jika ada yang tak mahu bercakap atau lalu depan muka tetapi tidak memandang saya.

“Prinsip saya ialah sentiasa berbuat baik dan tiada masa untuk menghakimi orang lain sebab itu bukan cara saya,” tuturnya.

Pelakon naskhah Kampung People itu mengakui turut menyekat segala hal negatif yang berlegar di sekeliling hidupnya.

“Dalam hidup ini, saya lebih utamakan kebahagiaan dan sebab itu kepala otak saya tidak sakit.

“Walaupun kadang-kadang ada rasa unsur negatif itu tiba, saya terus sekat dan pilih positif. Bila rasa ada benda kurang baik, saya biarkan pergi,” tegasnya.

BUKAN takut mencuba genre lain, Elly mengakui lebih selesa menyanyikan lagu berentak balada kerana lebih dekat dengan jiwa dan kesesuaian vokalnya.

Suami

Berbicara mengenai kebahagiaan, wanita berusia 44 tahun itu turut bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat menyokong dan memahami kerjaya seninya.

Meraikan ulang tahun perkahwinan keempat pada 18 Januari lalu, suaminya iaitu Mohammad Azlan menjadi insan terbaik dan selalu ada di sisinya ketika susah dan senang.

“Terlalu bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat baik dan sentiasa membahagiakan saya sekeluarga. Memang saya sangat beruntung memilikinya sebagai suami.

“Dia terlalu indah untuk saya dan anak-anak kerana sentiasa memahami serta hadir pada waktu susah dan senang, rasa bahagia sangat,” jelasnya.

Meskipun sibuk dengan jadual kerja yang padat, dia sentiasa berusaha mencari ruang dan keseimbangan untuk bersama keluarga.

“Keluarga adalah antara sebab saya mahu cuba aturkan jadual pekerjaan supaya seimbang antara kerjaya dan masa bersama suami dan anak-anak.

“Tidak kiralah apa pun berlaku, saya terlalu bersyukur dengan seorang suami yang Tuhan hadirkan untuk saya. Rasa sayang dimilikinya memang terlalu besar dan disebabkan itu cinta saya kepadanya juga tiada penghujung,” katanya.

Anak kelahiran Perak itu sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada Azlan kerana banyak membantunya menguruskan keluarga dan anak-anak, Puteri Sara Sefhia, 8, dan Haider Mateen, 3, ketika dirinya keluar bekerja.

“Terima kasih kerana sentiasa memahami setiap kerja saya, banyak membantu menjaga anak-anak ketika saya bekerja.

“Insya-Allah, saya cuba memberi yang terbaik. Saya pun tak lama sangat dalam industri (hiburan) ini lagi.

“Suatu masa nanti, mungkin kami akan habiskan masa tua bersama anak-anak jika diizinkan Allah,” ujarnya lagi.

Sempat berbicara tentang lagu baharunya berjudul Sayap, Elly teruja bekerja bersama tiga komposer berkaliber iaitu Naim Daniel, Omar K dan Iqie Hugh.

SELEPAS bertahun-tahun menanti, Elly akhirnya muncul dengan single berjudul Sayap bekerjasama dengan komposer muda, Naim Daniel, Iqie Hugh dan Omar K.

Sayap

Selain komposer, Sayap yang bergenre balada memberi keselesaan buat Elly disifatkan sesuai dengan vokalnya.

“Saya amat teruja dengan single Sayap ini kerana melodi dan liriknya sangat dekat di hati saya.

“Memang agak berdebar juga ketika mahu merakamkan single Sayap ini sebab sudah 17 tahun tiada lagu solo baharu, namun syukur hasilnya memang terbaik.

“Terima kasih Naim, Omar dan Iqie kerana percaya dengan kemampuan saya untuk menyanyikan single Sayap.

“Lagu ini ibarat comeback saya dalam dunia nyanyian, semoga dapat diterima baik,” tuturnya.

Mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan single baharu, jadual kerja yang terlalu padat menjadi keterbatasan utama dalam memacu karier nyanyiannya.

Sekadar mengimbau semula, antara lagu yang pernah melonjakkan nama Elly sebagai penyanyi ialah Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Janji Kekasih, Bunga Bakawali dan Sabarlah Hati.

Elly juga sempat bersama-sama dengan Faizal Tahir dan Zizi Kirana bergabung dalam lagu Empat Dara 2020 yang pernah viral satu ketika dahulu.

“Saya sangat rindu bidang nyanyian sebab saya bergelar artis pun bermula sebagai penyanyi.

“Jadual kerja yang sangat sibuk membuatkan saya tidak berkesempatan dan menangguh hasrat untuk hadir dengan lagu baru,” katanya yang memasang impian untuk mengadakan showcase istimewa buat peminatnya satu hari nanti.

PADAT dengan jadual kerja sebagai pengacara dan pelakon memaksa mengenepikan seketika kerjayanya sebagai penyanyi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN