fbpx

Titik sejarah kemasyhuran Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, salah satu daripada 13 penanda tempat Jejak Warisan Diraja di Klang.

KLANG – Garis masa Klang yang dikatakan wujud sejak 4,500 tahun lalu menjadikannya penuh dengan sejarah dan tradisi untuk diamati rakyat Selangor khususnya.

Perasmian Masjid Suleiman Jamiur-Rahmah atau Masjid Diraja Sultan Suleiman pada penghulu hari bersamaan 23 Jun 1933 telah secara simbolik menandakan Klang adalah Bandar Diraja.

Menurut Kurator Majlis Perbandaran Klang (MPK), Faisal Surani, perbezaan antara bandar biasa dengan Bandar Diraja adalah melalui tujuh kriteria utama me­nunjukkan bandar ini adalah antara Bandar Diraja di Malaysia.

Katanya, secara asasnya persamaannya adalah istana, masjid dan makam Diraja sebagai satu nilai estetika terhadap pemerintahan ke­sultanan di Selangor amnya.

Datuk Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan (kanan) meninjau Laman Seni Safari yang menjadi tumpuan para pengunjung di Klang.

“Namun, Klang mempunyai nilai tambah iaitu Kampung Diraja se­perti Kampung Seri Alam, tulisan jawi, pelabuhan dan kota raja. Kesemua ini melambangkan ciri-ciri unik sebagai Bandar Diraja.

“Bagi mendekatkan hubungan raja dan rakyat di Bandar Diraja biasanya kita ada padang temasya dengan Klang sendiri mempunyai Padang Kota Raja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, baru-baru ini.

Faisal yang mempunyai pe­ngalaman selama 40 tahun dalam penyelidikan sejarah di Selangor khususnya berkata, signifikan tulisan jawi dalam komponen Diraja adalah kerana tulisan tersebut adalah paling awal berbanding rumi di Tanah Melayu.

Penggunaannya juga simbolik melambangkan Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing selain menjadi tulisan rasmi istana.

“Komponen sokongan lain yang menunjukkan Klang adalah Bandar Diraja adalah istana-istana hinggap atau tendiat, lancang diraja, kubu pertahanan, pangkalan atau pelabuhan dan Jalan Istana.

“Untuk Klang sendiri, kita ada lebih 350 tinggalan sejarah yang akan cuba kita ketengahkan secara berfasa. Melalui fasa pertama, sebanyak 30 keistimewaan Klang akan didedahkan menerusi Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang,” tegasnya.

Datuk Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan melancarkan projek Jejak Warisan Bandaraya Klang di Jalan Raya Timur, Klang.

Menurutnya, MPK juga akan memperkenalkan Jejak Warisan Sungai Klang dan Jejak Bayu Samu­dera dengan menggunakan bot bagi memartabatkan kembali tapak-tapak sejarah lama yang tidak diketahui orang ramai.

“Kita akan mulakan di Pelabuhan Klang dan jeti Taman Pangkalan Batu menyusuri kawasan Kuala Sungai Klang, iaitu tapak kubu lama sewaktu Perang Klang selain mempertontonkan warisan semula jadi hutan bakau, kehidupan masyarakat Orang Asli dan nelayan serta Pulau Ketam,” ujarnya.

Faisal yang merupakan mantan Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor menjelaskan, Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang adalah satu jenama warisan bagi daerah Klang dalam menarik minat masyarakat mendalami sejarah Klang itu sendiri.

Istana Alam Shah, lokasi terakhir Jejak Warisan Diraja yang dibuka buat pengunjung pada Selasa dan Khamis, membolehkan orang ramai merasai suasana dalam istana serta melawat Galeri Automobil Diraja dan Galeri Bola Sepak Selangor.

“Kita membuat pendekatan baharu dan tidak hanya menampilkan lokasi dan tempat sejarah, sebalik­nya memperkenalkan konsep pewujudan tempat di setiap laluan jejak agar dapat memberikan kesan mendalam kepada orang yang datang atau melalui lokasi-lokasi tersebut.

“Panduan dan peta juga akan disediakan selain memasang panel-panel interpretasi berserta maklumat dan gambar bersama kaedah pengimbasan kod respons pantas (QR) di setiap pe­nanda tempat da­lam laluan Jejak Warisan Ban­daraya Di­raja Klang,” katanya.

Penanda Tempat Jejak Warisan Diraja

  1. Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz
  2. Kelab Diraja Klang
  3. Pintu Utama Istana
  4. Masjid Diraja Istana
  5. Istana Alam Shah
  6. Balai Nobat Diraja
  7. Replika Stesen Tanjung Pagar dan Stesen Bukit Timah
  8. Royal Automobile Gallery
  9. Taman Mahkota
  10. Galeri Bola Sepak Selangor
  11. Meriam dan Pesawat Tentera
  12. Meriam Lama Kesultanan Selangor
  13. Perahu Petalawati
Masjid Diraja Sultan Suleiman, salah satu daripada 13 penanda tempat Jejak Warisan Kota Raja.

Penanda Tempat Jejak Warisan Kota Raja

  1. Masjid Diraja Sultan Suleiman
  2. Mural Lama
  3. Kolam Wuduk
  4. Makam Diraja
  5. Tandas Lama Masjid
  6. Pejabat Lama Kadi Klang
  7. Istana Jemaah Kolej Islam Sultan Alam Shah
  8. Istana Puri
  9. Dewan Melayu Klang
  10. Sekolah Kebangsaan Klang
  11. Rumah Agam Dato’ Bentara Amar Diraja (Muzium Tekstil Negeri Selangor)
  12. Tapak Terowong Istana
  13. Stadium Kota Raja

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI