GEORGE TOWN – Pulau Pinang melakar sejarah apabila terpilih sebagai tuan rumah Kongres Dunia Persatuan Periklanan Antarabangsa (IAA) ke-45 yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 Mac nanti.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kongres itu dijangka menarik sebanyak 1,000 penyertaan dari seluruh dunia sekali gus meningkatkan impak ekonomi negeri yang dianggarkan berjumlah RM5.836 juta.
Katanya, IAA Malaysia dan kerajaan negeri berbangga dapat menjadi tuan rumah bagi acara bersejarah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
“Kongres ini sejajar dengan visi Penang2030 di mana kita berhasrat untuk menjadikan negeri ini paling hijau, maju secaa teknologi, tadbir urus inovatif dan pembangunan yang diilhamkan ke arah kelestarian.
“Penyesuaian strategik kami bertujuan untuk mencipta lanskap ekonomi yang lebih berdaya tahan dan dinamik, memupuk inovasi, mewujudkan pekerjaan dan pembangunan lestari,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar Kongres Dunia IAA di di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kongres berkenaan bakal menjadi platform perbincangan yang akan merungkai isu berkaitan jenama dan perniagaan meliputi pelbagai bidang antaranya pemasaran, kecerdasan buatan (AI) dan lanskap teknologi. – KOSMO! ONLINE