fbpx

Warga emas rugi RM115,000, terperdaya pelaburan bitcoin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PORT DICKSON – Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM115,000 selepas terperdaya dalam urusan pelaburan bitcoin sejak hujung tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pada 26 Januari lalu kira-kira pukul 5.34 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah dimaklumkan berkenaan aduan daripada mangsa iaitu seorang wanita warga tempatan.

Menurutnya, wanita itu menyatakan telah diperdaya dalam urusan pelaburan bitcoin selepas berurusan melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang individu memperkenalkan diri sebagai Wong How Dong berkenaan pelaburan berkenaan melalui platform Accerx.

“Mangsa mengetahui mengenai platform Accerx itu setelah melihat iklan di Facebook. Mangsa telah membuat enam transaksi pemindahan wang secara dalam talian kepada lima akaun yang berbeza dari tarikh 19 Disember sehingga 12 Januari dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM115,000 bagi tujuan modal pelaburan menggunakan wang simpanan.

“Wanita itu kemudiannya mendapati pulangan pelaburan telah dimasukkan ke dalam akaun aplikasi Accerx milik mangsa, namun gagal dikeluarkan kerana masih perlu membuat pembayaran tambahan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, mangsa kemudiannya menyedari telah diperdaya dan telah membuat laporan polis.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI