fbpx

Quayum tidak dihantar balik selagi tiada keputusan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin pada sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan menghantar pulang pemimpin pembangkang Bangladesh, MA Quayum ke negara asalnya selagi tiada keputusan diputuskan mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Imigresen (JIM) akan patuh, akur dan menghormati keputusan mahkamah di mana tidak akan menghantar pulang Quayum sehingga keputusan dibuat.

“Saya hubungi peguam Quayum memaklumkan bahawa JIM akan patuh, akur dan menghormati proses mahkamah, bermaksud sehingga mahkamah buat keputusan, JIM tidak akan hantar Quayum pulang,” katanya pada sidang akhbar khas di sini tadi.

Hari ini, JIM memberi persetujuan kepada permohonan dikemukakan di mahkamah untuk tidak mengusir Quayum ke negara asalnya.

Persetujuan JIM itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui aku janji diberikan wakil Jabatan Undang-undang JIM, Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Quayum ditangkap polis sebelum ini dan diserahkan kepada JIM kerana passportnya telah terbatal.

Katanya, ekoran itu, kes Quayum diletakkan di bawah bidang kuasa JIM dan perlu melalui beberapa proses sebelum ditempatkan di depoh JIM.

“Pertama JIM perlu memaklumkan Quayum bahawa dia akan ditahan di depoh dan keduanya ialah JIM perlukan maklumkan Pas Program Malaysia Rumah Kedua (MM2H) terbatal.

“Tetapi, apabila passport batal, pas MM2H tidak lagi boleh berkuat kuasa,” katanya.

Jelasnya, untuk Quayum ditempatkan di depoh JIM, dia juga diberitahu mengikut Akta Imigresen bahawa dirinya akan berada di situ untuk tujuan dihantar pulang.

“Namun, saya mahu jelaskan, JIM juga terikat dengan keputusan mahkamah kerana ketika tangkapan dibuat, peguamnya telah membawa kes ke mahkamah dan akan didengar pada 5 April depan,” jelasnya.

Pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berusia 63 tahun itu dikehendaki di negaranya selepas dituduh membunuh pekerja bantuan Itali, Cesare Tavella.

Tavella, 50, ditembak mati penyerang bermotosikal pada September 2015 ketika berjoging di kawasan diplomatik Dhaka, ibu negara Bangladesh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI