AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong berswafoto bersama rakyat jelata pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Putrajaya tahun lalu.

Al-Sultan Abdullah raja di hati rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Selepas bulan Januari ini, mungkin saya bukan lagi Raja kepada Malaysia, tapi jika diizinkan, hasrat saya ialah untuk menjadi Raja di hati anda semua.”

Demikian titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.

Al-Sultan Abdullah yang berangkat pulang ke Kuantan hari ini sebagai Sultan Pahang me­nitipkan harapan agar rakyat Malaysia terus bersatu padu dan bekerjasama memajukan Malaysia meskipun bukan lagi di bawah pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong,

“Saya harap rakyat terus muhasabah dan memberi segala kerjasama untuk memajukan dan meningkatkan ekonomi negara kita dan menyatukan rakyat kita semua kaum, semua peringkat dan bersyukur dan terus bersyukur,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam wawancara khas bersama editor dan wartawan kanan media utama sempena tamat tempoh pemerintahan di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut sama dalam wawancara itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

AL-SULTAN ABDULLAH dan Raja Permaisuri Agong berkongsi pengalaman manis dan mencabar sepanjang lima tahun menerajui pemerintahan negara ketika wawancara di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam wawancara selama hampir dua jam itu, Al-Sultan Abdullah turut berkongsi pengalaman sepanjang lima tahun memegang tampuk pemerintahan tertinggi negara bermula pada 31 Januari 2019.

Era pemerintahan Al-Sultan Abdullah menyaksikan perjalanan penuh warna-warni bermula dengan pandemik Covid-19 di­ikuti dengan pertukaran empat Perdana Menteri sepanjang tempoh lima tahun tersebut.

Titah Seri Paduka, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar lbrahim masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pengalaman pahit yang dilalui­nya dianggap ‘tidak begitu pahit’, sebaliknya semua itu adalah cabaran dan melakukan apa yang termampu untuk mententeramkan keadaan negara, menstabilkan politik dan mengekalkan keharmonian sehingga hari ini.

Jelas Seri Paduka, idea Kerajaan Perpaduan dicetuskannya selepas peletakan jawatan Muh­yiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Titah Seri Paduka, idea tersebut dilontarkan selepas melihat majoriti yang dimiliki Ismail Sabri tipis dan mungkin akan menyebabkan krisis pentadbiran negara berulang.

Seri Paduka menawarkan penyelesaian sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) de­ngan menubuhkan Kerajaan Perpaduan rentetan tiada parti yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Saya mulakan dengan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas). Tetapi, saya tak nak bangkitkan isu ini lagi kerana dia tolak (pembentukan Kerajaan Perpaduan) sebulat-bulatnya.

“Then, what choice do I have? Jadi baki siapa yang boleh wujudkan (kerajaan). Saya juga maklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu menawarkan kepada parti Muhyiddin dan Pas juga. Tapi apakan daya, itu sekadar apa yang saya boleh buat. Selain itu, terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin politik,” titah Seri Paduka.

Titah Al-Sultan Abdullah, ba­ginda berniat mewujudkan Kerajaan Perpaduan untuk menyatukan semua parti supaya Malaysia mempunyai kerajaan yang kukuh.

“Saya fikir pertukaran (kerajaan) tidak menjamin anda apa-apa. Sama seperti menukar Perdana Menteri dan anggota Kabinet setiap tahun, ia tidak menjamin apa-apa.

“Ya, orang kita sekarang pandai sangat, belajar tinggi sangat, nak mencuba sistem itu, sistem ini. Ini adalah pengalaman saya dan saya harap apa yang saya katakan tadi biarlah sekurang-kurangnya empat atau lima tahun sekiranya mahu mempersoalkan (pentadbiran kerajaan).

“Not over one year, come on! Not over one year (tolonglah, belum sampai setahun),” titah Al-Sultan Abdulah.

Al-Sultan Abdullah turut berpandangan, Perlembagaan Persekutuan menetapkan pro­ses peralihan kerajaan melalui pilihan raya, manakala beberapa negara Eropah boleh dijadikan teladan pada hemat Seri Paduka.

Pertukaran Kerajaan Persekutuan bukan melalui PRU, pandemik Covid dan keputusan PRU15 yang menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada parti politik memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Alhamdulillah, saya dididik supaya banyak bersabar. Kita apabila sembahyang banyak berzikir. Saya bukan nak kata saya begitu warak, tapi amalan yang kita buat selama ini mentente­ramkan.

“Sebenarnya kalau kita sudah biasa dengan amalan kita, semua ini serah pada Allah. Insya-Allah, hidayah akan datang dengan sendirinya.

“Saya anggap saya sudah cuba buat sekadar mana mampu. Pertama untuk tenteramkan kea­­­d­aan negara, stabilkan negara, kemudian stabilkan senario politik walaupun tidak secara drastik, namun sekurang-kurangnya dapat kekalkan keharmonian dan kestabilan,” titah Seri Paduka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN