fbpx

Wan Junaidi angkat sumpah TYT Sarawak Ke-8

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi memeriksa perbarisan sempena istiadat angkat sumpah TYT Sarawak kelapan di Kompleks DUN, hari ini.

KUCHING – Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak kelapan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Wan Junaidi, 77, dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi tiba bagi upacara penuh adat istiadat itu pada pukul 3 petang.

Mengiringi beliau ialah Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

Hadir sama Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta anggota kabinet negeri dan kenamaan lain.

Upacara dimulakan dengan perarakan masuk kawalan kehormat Batalion Ke-11, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan diiringi pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak ke medan perbarisan.

Ia kemudian disusuli dengan perarakan masuk panji-panji Batalion Ke-11, PGA ke medan perbarisan.

Sejurus tiba, Wan Junaidi kemudian menuju ke pentas khas sebelum memeriksa baris, dan seterusnya menerima hormat Diraja.

Wan Junaidi menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan TYT Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara pada Jumaat lalu.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu dilantik sebagai TYT Sarawak mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun sehingga 26 Januari 2028.

Pelantikan Wan Junaidi bagi menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

Wan Junaidi adalah figura yang pernah berada di barisan paling hadapan dalam mempertahankan kedaulatan tanah air daripada ancaman komunis selain berpengalaman luas dalam urusan pentadbiran negara.

Mempertaruhkan nyawa dalam beberapa siri operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara di kawasan Miri, Sibu serta Kapit semasa berkhidmat bersama Pasukan Polis Hutan, menjadi bukti kesetiaan patriot itu semasa negara berada dalam tempoh sukar.

Dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya), Sarawak pada 1 Februari 1946, Wan Junaidi menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari tahun 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM).

Beliau kemudiannya mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di University of Buckingham, England pada tahun 1978 sebelum menjadi pengamal undang-undang dari 1982 hingga 2008.

Permulaan perjalanannya sebagai seorang wakil rakyat bermula pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kelapan yang dipertahankannya untuk dua penggal seterusnya, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada PRU ke-11 pada 2004 dan berjaya mempertahankannya untuk empat penggal berturut-turut hingga PRU pada 2022. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI