BOLOGNA – Pengurus Besar Ducati, Gigi Dall’Igna menegaskan, pasukan itu sentiasa menghormati semangat kesukanan menjelang saingan musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang dijadualkan bermula 8 Mac nanti.
Beliau menepis dakwaan bahawa Ducati bakal menggunakan kelebihan memiliki lapan jentera pada saingan 2024 untuk mengambil kesempatan ke atas semua pencabarnya dengan melakukan ‘arahan pasukan’.
Dall’Igna menegaskan, mereka langsung tidak menggunakan sebarang ‘arahan pasukan’ bagi memberi kelebihan kepada pelumba-pelumba jentera ‘kilang’, terutamanya penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia.
“Ini adalah sukan, jadi kami perlu menghormati prinsip semangat kesukanan dan tidak bermain secara kotor. Perkara ini adalah falsafah hidup saya dan saya sentiasa mematuhinya dalam sukan.
“Bermain secara kotor pastinya mengehadkan kemampuan jentera pelumba lain untuk memenangi perlumbaan. Bagaimanapun, anda boleh lihat Jorge Martin dapat bersaing merebut kejuaraan dunia pada musim lalu, jadi sebenarnya kami berlumba secara adil,” katanya.
Sementara itu, kehadiran juara dunia lapan kali, Marc Marquez dalam pasukan Gresini Racing turut menimbulkan spekulasi dia mungkin mahu mencabar Bagnaia untuk merebut takhta kejuaraan dunia musim ini.
“Saya langsung tidak pernah memilih jentera atau pelumba mana yang perlu menang. Apa yang paling penting bagi saya adalah siapa yang menjadi juara dunia nanti perlulah membawa nama Ducati,” ujar Dall’Igna. – AGENSI














