fbpx

Wabak demam campak di Britain semakin membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VAKSIN MMR disediakan di bandar Gedaref, Sudan semasa kempen pelalian terhadap virus demam campak dan rubella pada 22 Januari lalu. - AFP

LONDON – Wabak demam campak di Britain berpotensi menular menjadi berpuluh-puluh ribu kes ketika Benua Eropah bergelut dengan lonjakan penyakit berjangkit tersebut, lapor saluran berita NBC News kelmarin.

Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) melaporkan sebanyak 216 kes demam campak direkodkan di kawasan West Midlands sejak Oktober 2023  hingga kelmarin.

Bilangan itu lebih tinggi berbanding  209 kes yang dilaporkan sepanjang 2023, manakala cuma 53 kes direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pada tahun lalu, kerajaan Britain memberi amaran bahawa demam campak berisiko menjangkiti antara 40,000 hingga 160,000 penduduk jika kadar vaksinasi tidak ditingkatkan.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan(NHS), kira-kira 80 peratus kanak-kanak di Britain menerima dos pertama vaksin demam campak, beguk dan rubella (MMR) pada usia dua tahun.

Bagaimanapun, angka itu dilaporkan rendah berbanding 93 peratus kanak-kanak yang menerima vaksin MMR sedekad lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menetapkan bahawa kadar vaksinasi penduduk sebanyak 95 peratus diperlukan untuk mengekalkan imuniti kelompok.

Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Hans Henri Kluge pada Rabu lalu memaklumkan bahawa terdapat 42,200 kes demam campak di 41 negara pada 2023, meningkat hampir 45 kali ganda berbanding 2022

Pada bulan lepas sahaja, hampir 21,000 pesakit dimasukkan ke hospital akibat demam campak.

Menurut WHO, wabak demam campak juga dilaporkan melonjak di Asia Tengah di mana lebih 13,600 kes direkodkan pada 2023, majoritinya melibatkan kanak-kanak bawah usia 14 tahun yang tidak divaksinasi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI