fbpx

Polis nafi suspek kes bunuh Bella diberi layanan istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZARUDIN menyempurnakan pemakaian pakai Komisioner Polis kepada Ketua Polis Johor yang baharu, M. Kumar pada Majlis Serah Terima Tugas di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menafikan suspek utama kes pembunuhan Mila Sharmilah Shamsusah, 32, iaitu teman lelakinya diberikan layanan istimewa pada awal siasatan kehilangan mangsa pada bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, suspek berusia 24 tahun itu dilepaskan dengan jaminan setelah memberi keterangan pada 29 Disember lalu.

Justeru, beliau menafikan dakwaan keluarga mangsa yang mempersoalkan tindakan polis termasuk lambat bertindak bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Tidak (suspek utama diberi layanan istimewa). Ia sebenarnya disebabkan, siasatan yang dijalankan adalah secara berperingkat.

“Pertama kita siasat menerusi Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang. Namun apabila keterangan serta bukti tidak mencukupi, kita beri jamin dahulu, bukan lepaskan.

“Oleh kerana kita tidak berpuas hati dengan hasil siasatan terdahulu, kita teruskan siasatan dan atas usaha Polis Johor khususnya Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, kita akhirnya berjaya menemui bukti-bukti yang baharu,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, bukti dan keterangan baharu itu yang membolehkan polis menangkap semula suspek utama dan siasatan seterusnya dibuat menerusi Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dengan adanya bukti baharu, kita boleh menahan suspek itu semula, bukan sebab kita bebaskan (suspek) sebab nak beri peluang untuk dia mengerjakan umrah,” katanya.

Ahad lalu, kakak kepada Bella iaitu Norhisham, 36, mempersoalkan beberapa tindakan polis dalam mengendalikan siasatan kes berkenaan menerusi hantaran di Facebooknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI