fbpx

4 termasuk bekas setiausaha politik, Datuk Seri disiasat terima suapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat suspek yang direman oleh SPRM dibawa ke Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. - Foto IHSAN SPRM

PUTRAJAYA – Empat ahli perniagaan termasuk bekas setiausaha politik bekas menteri dan individu bergelar Datuk Seri direman kerana disyaki menerima suapan daripada beberapa syarikat serta kontraktor yang mendapat tender sebuah kementerian.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan tiga suspek direman selama empat hari bermula hari ini. Seorang lagi suspek direman selama tiga hari selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Menurut sumber, penahanan terhadap empat suspek dibuat selepas suspek utama yang sebelum ini bekerja sebagai setiausaha politik bekas menteri meminta dan menerima suapan bagi memastikan tender pembekalan di sebuah kementerian diperoleh pihak kontraktor.

“Keempat-empat lelaki ini dipercayai menerima suapan daripada beberapa syarikat termasuk kontraktor yang mendapat tender pada 2020 hingga 2021 yang bernilai jutaan ringgit.

“Kesemua suspek ditahan pada pukul 7 hingga 8.30 malam tadi di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir bagi direkodkan keterangan. Seorang lagi ditahan di Shah Alam,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“SPRM juga berkemungkinan akan memanggil beberapa individu lain bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI