fbpx

Insentif untuk pekebun kecil sawit ganti pokok tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (tengah) menyerahkan mockup cek TSPKS 2.0 kepada Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon (dua dari kiri) pada majlis penyerahan di MPOB Bangi, hari ini. - Foto oleh IQBAL ROSLI / KOSMO!

BANGI – Pengusaha sawit khususnya pekebun kecil persendirian yang mahu melaksanakan penanaman semula pokok tua boleh memohon Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 bermula 15 Januari.

Skim tersebut disediakan kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan peruntukan RM100 juta, yang telah diumumkan sewaktu pembentangan Belanjawan 2024.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dana disediakan terdiri daripada komponen geran (50 peratus) dan sebahagian lagi adalah pembiayaan (50 peratus) kepada pekebun kecil persendirian dengan permohonan dibuat di Agrobank.

“Penyerahan cek tadi yang telah diluluskan untuk membantu pekebun kecil menanam semula pokok-pokok dianggap tua.

“Dianggarkan daripada 5.65 juta hektar ladang kelapa sawit di seluruh negara, kira-kira 26 peratus daripadanya diusahakan oleh pekebun kecil.

“Selain itu, anggaran pokok sawit telah tua hampir cecah 74,000 hektar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Mockup Cek Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2023.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parvee Ghulam Kadir memaklumkan, skim tersebut bertujuan bagi kerja-kerja penanaman semula sawit untuk pengusaha khususnya pekebun kecil persendirian.

“Penyaluran dana bagi kedua-dua komponen geran dan pembiayaan ini akan disalurkan sepenuhnya oleh pihak Agrobank.

“Walau bagaimanapun, bayaran balik oleh pemohon hanya melibatkan 50 peratus termasuk 2 peratus faedah daripada jumlah keseluruhan dana yang disalurkan,” katanya.

Nilai pembiayaan adalah RM14,000/hektar untuk pekebun kecil sawit di Semenanjung, manakala RM18,000/hektar pekebun kecil sawit untuk Sabah dan Sarawak dalam bentuk kombinasi geran dan pembiayaan.

Ia membabitkan untuk aktiviti seperti penyediaan kawasan tanaman, pembelian anak benih sawit berkualiti dan penyelenggaran kebun sehingga umur sawit tiga tahun (36 bulan) selepas tanam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI