SETIU – Pemasangan pagar elektrik tidak menghalang sekumpulan gajah daripada memusnahkan kebun kelapa sawit milik penduduk di Kampung Seri Bayas di sini Isnin lalu.
Kejadian itu disedari oleh 10 pekebun kelapa sawit selepas menyedari sebahagian pagar elektrik di kawasan itu tumbang dirempuh kumpulan gajah terbabit kelmarin.
Seorang pekebun, Ahmad Shazril Hisyam Mohamad, 33, berkata, serangan haiwan liar terbabit merosakkan ratusan pokok kelapa sawit dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit.
“Ini merupakan insiden kedua dalam tempoh seminggu pagar elektrik yang dipasang di kebun kami seluas 14.6 hektar dirosakkan sekumpulan gajah.
“Lebih menakutkan, baru-baru ini saya terserempak dengan dua ekor gajah mandi di sebatang anak sungai di dalam kebun kami,” katanya di Kampung Seri Bayas di sini semalam.
Ahmad Shazril Hisyam percaya, gajah adalah haiwan pintar yang mampu melepasi halangan pagar elektrik terutamanya yang dipasang dengan voltan rendah.
Rakannya, Mohamad Mat Nor, 63, pula mendakwa, dia terpaksa mengupah pekerja untuk berkawal di kawasan kebunnya pada waktu malam.
“Saya rugi lebih RM6,000 ekoran kemusnahan pokok kelapa sawit akibat serangan gajah. Diharapkan dengan kawalan malam, risiko pencerobohan haiwan liar terbabit dapat diminimumkan selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah mengambil maklum serta melakukan pemantauan berhubung pencerobohan gajah itu.
“Kami akan mengambil pendekatan menghalau kumpulan gajah terbabit ke habitat semula jadi berhampiran,” katanya.














