fbpx

10,413 penerima APC PDRM terima insentif Simpan SSPN Prime

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Dasuki (dua kiri) ketika bersalaman dengan Razarudin dalam Majlis APC PDRM yang berlangsung 7 Mac lalu.- Foto FB AHMAD DASUKI.

PETALING JAYA – Seramai 10,413 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tahun 2023 menerima insentif dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime berjumlah RM1,000 seorang.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan hari ini berkata, insentif itu membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,413,000.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia.

“Antaranya seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.

“PTPTN merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima APC Tahun 2023 PDRM dan menyeru kementerian serta agensi lain untuk menjadikan akaun Simpan SSPN sebagai insentif untuk penerima APC,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penyampaian APC di Dewan Mess Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu.

Majlis itu turut disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dan dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydhin Pitchay.

Pembukaan akaun Simpan SSPN atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI