fbpx

BERNAS bantu murid nikmati makanan seimbang, bernutrisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Manfaat PROMAK memberi kesan langsung kepada tahap fizikal pelajar untuk lebih fokus mengikuti sesi persekolahan dan cergas menjalankan aktiviti luar kelas.

Pemakanan seimbang yang lengkap dengan nutrisi adalah sesuatu yang penting untuk perkembangan mental dan fizikal terutamanya bagi murid-murid di sekolah rendah.

Namun begitu, murid-murid daripada keluarga kurang berkemampuan kebiasaannya kurang mendapatkan pemakanan seimbang dan bernutrisi ini.

Oleh yang demikian, Padi­beras Nasional Berhad (BERNAS) mengambil inisiatif dengan tampil membantu golongan itu menerusi bantuan Program Makanan Kesihatan (PROMAK).

Program ini merupakan inisiatif sosial BERNAS untuk murid-murid di sekolah rendah yang berada di bawah kumpulan B40.

Selain itu, PROMAK juga telah mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyediakan makanan tengah hari yang berkhasiat secara percuma dengan nilai RM6 sepanjang sesi persekolahan berjalan.

Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sasaran PROMAK pada masa ini tertumpu kepada murid sekolah rendah kurang berkemampuan di luar bandar.

Menurutnya, ini kerana mereka menyedari ramai daripada murid sekolah mengalami masalah kekurangan makanan berkhasiat atau malnutrisi sehingga menjejaskan perkembangan fizikal dan mental.

Para pelajar diberi pendedahan melalui pelbagai pameran dan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran tentang pengambilan makanan bernutrisi dan seimbang.

“Sejak PROMAK diperkenalkan, guru-guru mendapati kehadiran murid-murid di sekolah semakin meningkat.

“Malah, mereka juga semakin aktif dan fokus ketika menjalani latihan sukan selepas waktu kelas,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, sejak dilancarkan pada 9 Januari 2022, program ini telah memberi manfaat kepada hampir 20,000 murid daripada 93 buah sekolah rendah luar bandar di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Rohani menjelaskan, BERNAS turut menjalankan kajian impak ke atas 45 buah sekolah rendah terpilih PROMAK di Kedah dari Julai 2022 hingga Ja­nuari 2023 ke atas kehadiran murid.

Berdasarkan kajian itu, purata kehadiran murid untuk setiap bulan telah meningkat sebanyak lima peratus iaitu daripada 84 peratus kepada 89 peratus sejak PROMAK dilaksanakan.

Menurut Rohani, hasil tinjauan dan maklum balas turut mendapati, PROMAK di Kedah juga berjaya meningkatkan penyertaan murid dalam aktiviti luar kelas, memberi impak positif terhadap kecergasan mereka serta turut mengukuhkan fokus ketika sesi latihan dan pertandingan.

“Biasanya murid-murid yang tidak berkemampuan akan pulang ke rumah dan tidak lagi kembali semula ke sekolah untuk menyertai aktiviti luar kelas atau sukan akibat ketiadaan wang untuk membeli makanan.

“Dengan adanya hidangan PROMAK yang disediakan setiap hari waktu persekolahan, ia membolehkan mereka untuk menyertai aktiviti luar kelas,” jelasnya.

Tambah beliau, sehingga September 2023, lebih empat juta hidangan PROMAK telah disediakan dan ia mengandungi nutrisi berkhasiat berdasarkan kepada menu yang telah dirancang oleh Bahagian Pemakanan KKM.

Setiap pengendali kantin sekolah terpilih PROMAK diwajibkan mengikut garis panduan penye­diaan makanan yang telah ditetapkan oleh KKM.

Pelajar gembira dapat bekalan makanan pada waktu tengah hari yang dapat menjimatkan duit poket harian mereka.

Sementara itu, menyedari pentingnya pengetahuan mengenai makanan bernutrisi perlu diterapkan seawal usia muda, BERNAS telah menganjurkan program PROMAK Riang Ria Nutri yang bertempat di Universiti Antarabangsa Albukhary, Alor Setar, Kedah pada 24 Oktober 2023 yang lalu.

Program yang melibatkan ­penyertaan lebih 500 murid dari 24 buah sekolah terpilih PROMAK dari negeri Kedah itu telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Program itu menampilkan elemen didik hibur yang menerapkan aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang interaktif dan menyeronokkan yang memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan nutrisi serta amalan pemakanan yang seimbang.

Mengulas tentang program tersebut, seorang murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Pida, Kubang Pasu, Kedah, Nur Qhaseh Qhaliesya Mohamad berkata, dia bersyukur kerana terpilih sebagai penerima bantuan PROMAK.

“Banyak yang saya pelajari di PROMAK Riang Ria Nutri.

“Ada pameran sains dan ada pameran makanan sihat dan diharapkan tahun depan ada lagi,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi murid darjah lima Mohd. Amirul Raziq dari Sekolah Kebangsaan Kangkong berkata, banyak yang dia belajar daripada program itu.

“Rupanya makanan berkhasiat bukan sahaja sayur, ayam, daging tetapi nasi pun adalah makanan berkhasiat,” ujarnya.

Jelas pelajar ini tentang bekalan makanan tengah hari yang dihi­dangkan, pastinya ia lazat dan berkhasiat.

“Dengan makanan ini, sebahagian duit belanja sekolah saya boleh simpan untuk beli barang keperluan lain,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI