fbpx

Bekas pegawai Perkeso makan suap Penjana didenda RM70,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dhinnesh (berkaca mata) ketika menanti prosiding pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini . FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Perbuatan seorang bekas pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima suapan sebanyak RM38,000 bagi meluluskan insentif Penjana 3.0 sebuah syarikat dua tahun lalu membawa padah apabila didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, S. Dhinnesh,30, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan dihadapinya.

Dhinnesh yang ketika ini bekerja sebagai pembantu kedai runcit turut diperintahkan penjara selama 24 bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Tertuduh membayarnya.

Mahkamah turut memerintahkan agar wang rampasan sebanyak RM20,000 dilucutkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)seperti dipohon pihak pendakwaan.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang tunai keseluruhan RM38,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan meluluskan permohonan Penjana 3.0 daripada sebuah syarikat.

Perbuatan itu dilakukan di kafe dan restoran sekitar Dengkil serta Cyberjaya antara 6 dan 15 April 2022.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut fakta kes, modus operandi dilakukan tertuduh adalah menghubungi pegawai di Ibu Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso untuk meminta tindakan ‘data patching’ yang bermaksud membuka semula permohonan sebuah syarikat yang telah ditolak supaya tertuduh boleh membuat semakan dan memberikan kelulusan.

Kemudian tertuduh telah menghubungi seorang lelaki dengan membuat kiraan bahawa syarikat tersebut akan menerima sejumlah RM1.15 juta dalam tempoh enam bulan tidak termasuk insentif mobiliti.

Hasil perbincangan bersama dua lelaki termasuk pemilik syarikat tersebut akhirnya telah menawarkan 10 peratus iaitu berjumlah RM19,000 hasil daripada pembayaran Perkeso yang berjumlah RM189,020 setiap enam bulan bagi permohonan 124 orang pekerja syarikat berkenaan.

Peguam Kathan Maruthamuthu memohon hukuman minima ekoran merupakan kesalahan pertama anak guamnya itu yang kini menyesal dan berjanji tidak mengulanginya pada masa depan.

“Tertuduh juga kini hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan pendapatan RM1,500 dan isterinya pula ejen pelaburan secara sambilan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin bagaimanapun menegaskan agar mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara keseluruhannya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI