GEORGE TOWN – Seorang anggota tentera yang menjadi wira selepas menyelamatkan nyawa dua individu yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di sini masih sukar melupakan detik itu sekalipun kejadian tersebut telah berlaku sejak seminggu lalu.
Anggota berkenaan, Koperal Mazlan Abdul Rahman, 35, yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RMAD), Kem Sungai Ara, Bayan Lepas di sini berkata, sehingga kini dia masih teringat akan tindakan luar jangkaannya dengan terjun ke laut dari ketinggian 20 meter.
Katanya, perasaan itu dialami setiap kali melalui jambatan berkenaan untuk pulang ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah.
“Masih terngiang-ngiang kejadian saya menyelamat pasangan lelaki dan wanita itu. Saya tidak trauma, tetapi payah untuk lupakan kejadian itu setiap kali melalui Jambatan Pulau Pinang.
“Ini pengalaman pertama kali dalam hidup. Saya tanggalkan baju dan kasut sebelum terjun ke laut. Ia bagi menggelakkan daripada baju terjerut leher semasa berada di laut.
“Ketika itu, keadaan laut agak dalam dan gelap. Mujur ada orang awam bantu suluhkan lampu ke bawah. Saya papah lelaki itu dekat dengan tebing bawah jambatan sebelum berenang ke arah bot nelayan,” katanya kepada Kosmo! di sini, kelmarin.
Ceritanya lagi, mangsa lelaki ditemui dalam keadaan pengsan, manakala wanita pula masih sedarkan diri dan dibawa ke atas bot dengan bantuan nelayan.
“Mangsa wanita ketika itu dilihat dalam keadaan trauma, namun sempat mengucapkan terima kasih kepada saya.
“Saya hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan akibat terkena obor-obor pada belakang badan,” ujarnya yang sudah berkhidmat selama 14 tahun dengan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Jelas bapa kepada dua cahaya mata itu, kejadian yang berlaku sememangnya memberikan pengalaman berharga buat dirinya selain tidak menyangka menerima pelbagai ucapan dan kata-kata semangat daripada pihak TDM, ahli keluarga, rakan termasuk orang awam yang juga pengguna di media sosial.
Kosmo! pada 18 Januari lalu melaporkan kisah seorang anggota tentera yang mengakui yang dia tergerak hati untuk terjun dari Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang, 15 Januari lalu setelah melihat kedua-dua pasangan lelaki dan wanita itu berada dalam keadaan terkapai-kapai di laut.














