fbpx

Empat lelaki dituduh curi kad MSAN TM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Empat lelaki didakwa di mahkamah di sini, hari ini atas 26 pertuduhan mencuri, menerima dan melupuskan kad rangkaian akses pelbagai perkhidmatan (MSAN) milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM649.189.63.

Tertuduh, Dharmaraj Ramar, 34, dan Puviyarasan Arjunan, 25, yang merupakan warga India serta dua lelaki tempatan iaitu Hiew Vee Looh, 42, dan Yeo Choon Leng, 48, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni, Vee Looh dan Choon Leng didakwa mencuri 442 kad akses sistem di kabinet milik TM di lokasi berbeza sekitar Melaka Tengah pada 29 Disember hingga 7 Januari lalu.

Mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Dharmaraj dan Puviyarasan mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan melupuskan harta milik syarikat tersebut di sebuah kedai besi buruk di Cheras, Kuala Lumpur pada 4 Januari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda di bawah Seksyen 414 kanun yang sama.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam, dua warga India tersebut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima harta curi milik TM.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 29 dan 31 Disember 2023 di alamat sama.

Majistret membenarkan dua tertuduh warga tempatan diikat jamin RM97,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dharmaraj dan Puviyarasan yang dituduh mengikut Seksyen 414 juga dibenarkan dijamin dengan jumlah jaminan RM37,000 setiap seorang, selain syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Hakim Mohd. Sabri dan Darmafikri bagaimanapun tidak membenarkan jaminan kepada dua warga asing itu yang didakwa di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan.

Kesemua prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Wardah Ishhar, manakala hanya dua tertuduh tempatan diwakili Peguam Muhammad Afiq Yahawa.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 5 Mac Depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen untuk kesemua tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI