fbpx

Wanita pertama dalam perkhidmatan awam Devaki Krishnan meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mendiang Devaki

PETALING JAYA – Wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan meninggal dunia pada usia 100 tahun malam tadi.

Mendiang juga merupakan tokoh wanita berpengaruh dalam politik Malaysia yang diberi gelaran ‘Grand Dame of Malaysian Indian Politics’.

Perkhabaran sedih itu dikongsikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan Ramakrishnan di media sosial hari ini.

“Dengan penuh dukacita dimaklumkan nenda saya, Tan Sri Devaki Krishnan meninggal dunia malam tadi. Kehilangannya di usia 100 tahun sudah tentu amat dirasai seluruh ahli keluarga.

“Hayatnya diabadikan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Kehilangannya tiada ganti. Kenangan bersamanya akan terus diabadi. Semoga rohnya diberikan ketenangan,” katanya.

Ramanan berkata, jasa dan pimpinan Devaki dalam mengangkat martabat wanita di mata dunia serta wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia meninggalkan warisan gemilang dalam sejarah politik negara.

Devaki yang dilahirkan pada 11 Mac 1923 memulakan karier sebagai guru sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Perbandaran di Kuala Lumpur pada 1952 sekali gus menjadi wanita pertama Malaysia dipilih sebagai penjawat awam.

Mendiang yang dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan terlibat dalam politik pada 1950 dan menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 atas jemputan presiden pengasas parti itu Datuk Onn Jaafar.

Selepas Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur 1952, Devaki menjadi naib presiden MIC yang ketika itu hanyalah sebuah persatuan sosial dan kebajikan.

Anak sulung daripada enam adik-beradik itu antara individu yang terlibat menubuhkan bahagian wanita dalam MIC dan merupakan Setiausaha Wanita MIC Kebangsaan yang pertama pada 1975.

Devaki juga pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Ahli Lembaga Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Naib Presiden Persatuan Wanita Asia Pan Pasifik dan Asia Tenggara, serta Ahli Majlis Majlis Kebangsaan Pertubuhan Warga Emas Malaysia.

Mendiang juga merupakan wanita India pertama dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 1995 serta pernah menerima pelbagai anugerah sepanjang hayatnya termasuk Tokoh Wanita dan Pingat Emas Tun Fatimah daripada NCWO. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI