SETIAP perhubungan serius tentu sahaja ingin dinoktahkan secara sah, situasi sama dilalui pelakon juga pengacara, Yasmin Hani bersama kekasihnya, Alif Hadi.
Biar pernah merancang merealisasikan hari bahagia mereka hujung tahun lalu, majlis tersebut dianjakkan selepas mempertimbangkan pelbagai perkara.
Enggan segera mendirikan rumah tangga hanya disebabkan insan sekeliling, baginya soal masa depan biar sahaja dia dengan Alif yang membuat perincian sebagai persediaan melangkah ke fasa seterusnya.
Akui pemilik nama lengkap Yasmin Hani Ismail Richardson, tiada sebarang isu apabila mereka belum disatukan bahkan hakikatnya kasih mereka bertambah kuat.
“Bukan sangsi, kami juga seperti pasangan lain yang mahu stabilkan diri dahulu dari pelbagai segi sebelum berkahwin kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab.
“Selain dua anak, saya juga menjaga ibu yang tinggal bersama, sekali gus beberapa faktor lain turut memberi impak terhadap keputusan kami.

“Masanya tetap akan tiba cuma kami enggan tergesa-gesa hanya disebabkan permintaan sekeliling, keluarga pun faham,” katanya ketika ditemui pada majlis prebiu drama Gemersik Berbisik, baru-baru ini.
Ditemani insan tercinta, selebriti berusia 44 tahun itu menyatakan mereka juga sepakat memilih bersederhana dengan mendahulukan perkara wajib.
“Perkara paling penting adalah pernikahan yang dikelilingi keluarga terdekat disusuli keperluan penting lain iaitu gambar untuk kenangan masa depan.
“Betul atau tidak, pada akhirnya foto itulah yang paling utama untuk dijadikan kenangan buat anak cucu nanti,” tambah hos popular itu.
Enggan berlama-lama berbicara soal cinta, dia yang berada dalam industri seni sejak 26 tahun lalu lebih teruja menunggu tayangan drama bersiri lapan episod, Gemersik Berbisik bermula 19 Januari ini.

Pengalaman misteri
Naskhah seram terbitan NS Star untuk siaran Unifi TV itu memerlukannya membawakan empat watak termasuk karakter jembalang yang menguji mental dan fizikal.
“Naskhah ini memang memberi cabaran tersendiri kerana penggambaran dibuat di kawasan hutan simpan di Dengkil sekitar 20 hari.
“Kami berkampung di sebuah rumah tinggal yang tidak mempunyai kemudahan asas termasuk tandas selain agak jauh dari laluan utama,” katanya.
Bukan seorang yang penakut atau mempercayai perkara mistik, antara pengalaman dilalui adalah kejutan menemui paku tekan di tempat penggambaran.
“Sebelum itu saya duduk seketika di lokasi yang saya patut mengesot tetapi tidak nampak sebarang benda asing, namun apabila kembali sudah bersusun puluhan paku tekan kecil.
“Peliknya semua paku itu mencacak seperti disusun. Cuba bayangkan kalau saya buat saja babak mengesot tanpa berkasut di situ. Tentu kaki saya luka.
“Rasanya ada beberapa insiden lagi yang pelik, tetapi sebagai hamba Allah kita kena kembali kepada-Nya selain jaga tingkah laku di tempat orang,” kongsinya lagi.

Bersahabat
Mengenai kehidupan peribadi, selepas dua tahun kembali berstatus solo, bekas isteri kepada pemain dram Blackrose, Sha’arin itu bersyukur hubungan mereka kekal baik.
Walaupun sudah bercerai, demi melihat anak-anak membesar dengan kasih sayang ibu bapa seperti keluarga normal lain masing-masing meletakkan ego ke tepi.
Malah, dia juga seakan tidak percaya komunikasi dengan pemuzik bebas itu semakin baik selepas bercerai bahkan mereka berhubung hampir setiap hari bagi urusan persekolahan dua anak lelaki yang kini bawah jagaannya.
“Sekarang boleh dikatakan saya lagi banyak berborak dengan Sha’arin berbanding Alif. Kami memilih untuk lebih bertamadun dengan mengelak mencaci-maki sesama sendiri selepas tidak lagi bergelar suami isteri,” katanya.

tahun baharu disifatkan sebagai rahmat untuk terus melangkah di arena dunia seni.
Rancang umrah
Bekas hos program Muzik@Ria itu juga mengakui bakal menyertai anak-anak meraikan hari jadi Sha’arin atau Sha’arin Mohamed Razali, 60, di Bali, Indonesia pada Mac depan.
“Dia ada perancangan membawa anak-anak kami menunaikan umrah dan saya yang belum pernah ke Tanah Suci turut memasang niat menyertai mereka.
“Sebelum ini Sha’arin pernah ke Mekah, tapi saya baharu pertama kali dan kalau diberikan rezeki dapat beribadah dengan anak-anak.
“Alhamdulillah, semua ini kerana anak-anak. Lagipun masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.
“Untuk apa bermusuh, tiada kebaikan pun,” ujarnya yang berpisah dengan pemuzik terbabit pada Disember 2021.















