GAMBAR HIASAN

‘Berpada-padalah naikkan tambang bas sekolah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Golongan ibu bapa meminta pengusaha bas sekolah di negeri ini bertimbang rasa sebelum menaikkan kadar baharu bagi perkhidmatan itu pada Mac ini supaya kedua-dua pihak tidak terbeban dengan keputusan tersebut.

Rata-rata mereka turut menggesa pengusaha bas dan van sekolah memahami keadaan kewangan semasa ibu bapa terutama yang mempunyai jumlah anak ramai selain faktor kelangsungan hidup.

Seorang pekerja swasta, Amirah Rashid, 39, berkata, keadaan kewangan keluarga akan bertambah ‘tenat’ jika pengusaha bas memutuskan untuk mengenakan tambang baharu untuk dua anaknya yang bersekolah rendah dan menengah nanti.

Akuinya, ketika ini jumlah tambang bulanan untuk dua anaknya yang bersekolah di tahun empat dan tingkatan dua itu sebanyak RM420 sebulan.

“Tambang bas untuk si adik adalah RM160 sebulan dengan jarak empat kilometer ke sekolah, manakala abangnya pula RM260 sebulan dengan jarak lapan kilometer dari rumah di Bayan Lepas.

“Jika tambang dinaikkan RM20 seorang maka saya perlu menjelaskan jumlah keseluruhannya RM460 sebulan, sudah menghampiri RM500. Ini baru kos tambang bas dan belum lagi untuk yang lain,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Jelasnya, faktor kenaikan harga alat gantian dan tayar bas sememangnya bukan alasan untuk pengusaha menaikkan tambang baharu pada sesi persekolahan 2024/2025 nanti.

“Sudah tentu tayar bas, alat ganti tidak perlu ditukar setiap bulan. Sepatutnya, pe­ngusaha perlu sama-sama memahami keadaan yang sedang dipikul keluarga. Kita sama-sama rasa bebanannya,” jelasnya.

Sementara itu, Hisham Asan, 46, memberitahu, pengusaha bas sekolah di negeri ini sepatutnya menetapkan kadar tambang yang sama berdasarkan jarak dan lokasi penumpang.

“Saya dapati, berlaku ketidaksamaan yang ketara mengenai kadar tambang bas sekolah sedia ada ketika ini. Bayangkan, jarak ke sekolah dari rumah di Sungai Ara kira-kira enam kilometer. Ada pengusaha kenakan tambang RM65 sebulan dan ada sehingga RM130 sebulan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN