Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri dalam sesuatu perkara, begitu juga golongan ulama yang sejak sekian lama ada pendapat dan hujah masing-masing dalam memberikan sesuatu hukum.
Biarpun terdapat pandangan yang berbeza dengan ulama lain, tetapi mereka tidak lari daripada asas hukum dalam Islam iaitu al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.
Perbezaan pandangan inilah yang melahirkan mazhab dalam Islam seperti yang kita dengar pada hari ini iaitu Mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali.
Mereka hanya berbeza pendapat dalam bab hukum fikah yang menjadi amalan seharian umat Islam, sedangkan dalam bab akidah, pandangan mereka adalah sama.
Namun, apa yang menyedihkan pada hari ini, perbalahan yang berlaku antara agamawan yang tidak sealiran pendangan terhadap sesuatu perkara semakin parah dan seperti tiada kesudahan.
Bahkan dalam perkara yang dianggap sudah selesai ratusan tahun lepas masih diperdebatkan seperti soal qunut solat subuh, tahlil, bacaan surah Yasin pada malam Jumaat sebagai bidaah dan sebagainya masih diperdebatkan.
Di pihak sini mengeluarkan hujah dan dalil, sementara di pihak satu lagi tidak mahu mengalah dengan menjadikan perkara itu semakin berpanjangan, masing-masing mahu menunjukkan siapa benar dan jaguh.
Sepatutnya, dalam hal ini sebagai orang lebih arif tentang agama Islam yang sememangnya mengajar tentang perpaduan dan toleransi, mereka sepatutnya perlu mencari titik tengah agar segala permasalahan yang timbul termasuk isu khilafiah diselesaikan secara tuntas.
Seharusnya perbezaan pandangan dalam Islam menyatukan sesama kita dan bukan menjadi bibit perpecahan seperti yang berlaku pada hari ini.
Mereka yang bergelar ustaz dinasihatkan agar tidak terus menjadikan perkara seumpama ini sebagai kesombongan kerana agamawan juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan tipu daya syaitan di dunia.
Jika mereka terus mengambil jalan pergaduhan, masyarakat awam yang memerlukan pencerahan dalam sesuatu isu akan ‘pening’ dan keliru dan mula meragui kewibawaan mereka yang bergelar tokoh agama yang selama ini disanjung tinggi.
Ustaz-ustaz janganlah terus berbalah sesama sendiri dan jika ada pertikaian perlulah kembali kepada al-Quran dan sunnah kerana mereka memberi contoh serta teladan kepada masyarakat.
Golongan ini haruslah sentiasa berbuat baik sesama insan serta kembali kepada al-Quran dan sunnah apabila termakan dengan tipu daya serta fitnah yang berleluasa ketika ini.
Lagi satu, mereka yang mempunyai ilmu agama tinggi janganlah mempunyai sifat takabur iaitu salah satu daripada sifat yang dibenci oleh Allah SWT.














