fbpx

Perolehan 4 helikopter baharu mantapkan operasi perairan Sarawak, Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruji (kiri) diiringi Hamid semasa mengadakan lawatan kerja rasmi menaiki Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) memasuki Kuching di Laut China Selatan, hari ini.

KUCHING – Operasi keselamatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sarawak dan Sabah akan terus dimantapkan dengan perolehan empat helikopter baharu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi berkata, aset udara itu dijangka diperoleh dalam tempoh 24 hingga 36 bulan melibatkan peruntukan berjumlah RM600 juta yang sudah diluluskan.

“Empat helikopter itu akan ditempatkan di pangkalan udara pertama Maritim Malaysia di wilayah ini iaitu di Pusat Operasi Udara Maritim Sandakan, Sabah.

“Ini akan memantapkan lagi operasi udara di Sabah dan Sarawak kerana sekarang Maritim Malaysia hanya mempunyai satu pusat operasi udara di Subang, Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja rasmi menaiki Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) memasuki Kuching di Laut China Selatan, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin dan Timbalan Ketua Setiausaha KDN (Pengurusan), Dr. Abdul Gapar Abu Bakar.

Sementara itu, Ruji berkata, Kapal OPV1 yang secara rasmi memulakan operasi pertama memantau perairan Sarawak hari ini dijangka memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia khususnya di Laut China Selatan yang menjadi tumpuan aktiviti ekonomi dan laluan kapal dagang yang menghubungkan selatan dan utara laut berkenaan.

“Keberadaan Kapal OPV1 mampu memenuhi matlamat operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu konsep penghalang bagi mengekang pencerobohan kapal asing,” katanya.

Beliau menambah, Kapal OPV1 yang diserahkan kepada pihaknya pada 2 Januari lalu juga akan menjadi kapal induk kepada bot peronda Maritim Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI