fbpx
Mat Ail (kiri) dan Tuan Almadi (tiga dari kanan) menunjukkan pagar SK Pasir Linggi yang rosak angkara gajah di Pos Lebir, Gua Musang semalam.

Gajah ‘masuk’ sekolah Pos Lebir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi di Pos Lebir di sini, gempar apabila seekor gajah betina menceroboh kawasan itu hingga merosakkan pagar dan pokok pisang dalam kejadian Jumaat lalu.

Kejadian pada pukul 11 malam di Kampung Pasir Linggi itu di­sedari oleh guru besar, Mat Ail Ibrahim, 53, yang terkejut apabila terdengar bunyi bising berhampiran rumahnya.

Menurut Mat Ail, walaupun kejadian itu tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa, namun mamalia itu telah merosakkan pagar setinggi dua meter dan kebun pisang sekolah.

“Ini kejadian pertama kawasan sekolah diceroboh gajah hingga mendatangkan rasa cemas dalam kalangan guru dan kakitangan.

“Kami risau ia akan merosakkan kenderaan atau rumah guru kerana gajah yang kami lihat pada malam itu sangat besar,” katanya.

Ujar Mat Ail, mereka sangat takut apabila melihat gajah itu berlegar-legar dalam kawasan sekolah sebelum meminta bantuan Tok Batin Orang Asli suku kaum Bateq untuk menghalau mamalia berkenaan.

Tambahnya, gajah itu berjaya dihalau pada pukul 12.30 malam dan dia difahamkan terdapat lima ekor lagi spesies yang sama berkeliaran di kawasan kampung.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Pasir Linggi, Tuan Almadi Tuan Kasim, 50, berkata, sekolah itu tidak pernah diceroboh gajah sejak dia memulakan tugas pada lima tahun lalu.

Katanya, kesan kerosakan pokok pisang dan pagar sekolah dapat dilihat dengan jelas pada keesokan harinya.

“Laporan telah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan kami berharap tindakan lanjut dapat dilakukan.

“Kami bimbang gajah berke­naan muncul sekali lagi di kawasan sekolah selain mengganggu guru dan murid yang tinggal di asrama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN