fbpx

14 warga China leka urus judi dalam talian diserbu Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruslin menunjukkan komputer riba yang dirampas dalam serbuan sebuah pusat judi dalam talian dioperasikan 14 lelaki warga China, di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kegiatan 14 lelaki warga China menjadikan premis perniagaan di Jalan Kerinchi, di sini sebagai sarang mengoperasikan sindiket perjudian dalam talian tumpas apabila diserbu malam tadi.

Kejayaan serbuan dan tangkapan tersebut hasil risikan anggota Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur dan maklumat aduan orang awam berhubung behadiran warga asing secara berkumpulan di premis tersebut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pukul 11.05 malam itu berjaya menahan kesemua 14 individu yang berusia 23 hingga 39 tahun.

Jelasnya, siasatan awal mendapati sindiket menyasarkan warga Brazil susulan waktu operasi yang dijalankan bermula pukul 10 malam hingga 10 pagi.

“Ketika serbuan dibuat, kesemua mereka enggan berikan kerjasama sehingga pihak JIM perlu membuka pintu premis secara paksa.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, kesemua mereka sedang mengoperasi perjudian dalam talian dengan menjadikan warga Brazil sebagai sasaran utama.

“Turut ditahan tiga warga tempatan disyaki peranan sebagai pelayan pelanggan bagi sindiket tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Duta, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, kesemua yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan dan perjalanan diri yang sah dipercayai masih dipegang oleh pihak sindiket atau majikan.

Tambah beliau, pihaknya merampas sejumlah 16 unit komputer riba, skrin komputer (10), telefon bimbit (45), tablet (2) dan beberapa peralatan komputer serta bil utiliti premis.

“Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Semakan akan dilakukan di Ibu Pejabat JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, untuk tindakan lanjut,” jelas beliau.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI