PETALING JAYA – Kebimbangan mengenai kecederaan yang dialami pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei akhirnya terjawab apabila disahkan mengalami koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kiri.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan memaklumkan kecederaan itu berlaku ketika Ee Wei beraksi pada perlawanan suku akhir Terbuka Singapura minggu lalu.
“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa Toh Ee Wei mengalami kecederaan lutut ketika perlawanan suku akhir di Terbuka Singapura minggu lalu.
“Penilaian susulan menerusi imbasan MRI mendapati terdapat koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kirinya,” menurut kenyataan tersebut.
Susulan kecederaan berkenaan, Ee Wei dan pasangan beregu campurannya, Chen Tang Jie terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Indonesia 2026 yang berlangsung minggu ini.
Perkembangan itu pastinya menjadi tamparan buat pasangan juara dunia tersebut yang sebelum ini berhasrat untuk bangkit selepas tersingkir di peringkat suku akhir Terbuka Malaysia Masters dan Terbuka Singapura.
Menurut BAM, Ee Wei dijadual menjalani satu lagi pemeriksaan MRI pada Jumaat depan sebelum keputusan lanjut mengenai rawatan serta program pemulihan ditentukan oleh pasukan perubatan badan induk berkenaan.
“Ee Wei dijadual menjalani penilaian MRI susulan pada Jumaat depan dan selepas itu pasukan perubatan BAM akan menentukan langkah rawatan serta proses rehabilitasi yang perlu dilalui,” kata kenyataan itu. KOSMO! ONLINE














