fbpx

Minyak diesel subsidi bernilai RM3.6 juta dirampas KPDN Perak tahun lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamalludin (tengah) memotong tangki IBC yang dirampas dalam Program Pelupusan Eksibit Perdana KPDN Perak di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN Perak di Chemor hari ini.

IPOH – Sebanyak 56 kes ketirisan minyak diesel bersubsidi membabitkan kerugian berjumlah RM3,645,486.92 direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak sepanjang tahun lalu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, jumlah itu diperoleh hasil daripada 783 pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan melalui Op Tiris 1 dan Op Tiris 2.

“Nilai rampasan keseluruhan minyak diesel bersubsidi sebanyak 275,406 liter termasuk kenderaan dan peralatan lain adalah berjumlah RM5,584,687.46.

“Jumlah itu merangkumi 90 peratus daripada nilai keseluruhan rampasan Op Tiris pada tahun lalu iaitu sebanyak RM6,216,457.37,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pelupusan Eksibit Perdana KPDN Perak di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN Perak di Chemor, di sini hari ini.

Menurut beliau, Op Tiris 1 dilaksanakan bermula 1 Mac hingga 31 Ogos 2023 sebelum dilanjutkan sehingga 31 Disember lalu melalui Op Tiris 2 yang merangkumi ketirisan subsidi lain seperti gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, beras dan gula.

Sehubungan itu katanya, tindakan yang lebih agresif akan dilaksanakan tahun ini melalui Op Tiris 3 dalam usaha kerajaan menangani ketirisan dan penyelewengan subsidi barang kawalan.

“Di Perak sendiri, kita berjaya menghasilkan sebanyak 34 kes pelbagai kesalahan melibatkan rampasan minyak diesel dan LPG dengan nilai rampasan berjumlah RM1,890,993.35. Nilai itu direkodkan dalam 12 hari pertama tahun ini,” ujar beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai pelupusan eksibit KPDN Perak, beliau berkata, pelupusan pada hari ini melibatkan pam minyak, hos, tangki IBC, kenderaan, biskut, pelekat jenama dan kasut sukan berjenama cap dagang yang dipakaikan dengan salah.

“Nilai pelupusan barang kes pada hari ini berjumlah RM594,817.80. Barangan yang dilupuskan itu adalah kejayaan hasil daripada tindakan melalui Op Tiris.

“Bagi nilai terkumpul pelupusan barang kes sepanjang tahun lalu ialah sebanyak RM1,509,181.35. Jumlah itu meningkat 29.6 peratus berbanding tahun 2022 sebanyak RM1,164,324.35,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI