fbpx

Mahkamah: Tipu bagasi disekat di KLIA, warga emas didenda RM2,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Sesyen Ampang

AMPANG – Seorang lelaki warga emas didenda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung beg bagasi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Julai tahun lalu.

Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh, Raja Shahyan Raja Abdullah, 82, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama sebulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, bekas juruteknik sebuah syarikat penerbangan tempatan itu didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 59 tahun bahawa beg bagasinya telah ditahan di KLIA.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM2,700 yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di sini antara pukul 1.40 petang pada 19 Julai 2023 hingg pukul 3.39 petang pada 24 Julai tahun yang sama.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Izleen Ismail yang mewakili tertuduh merayu agar tertuduh dikenakan denda yang minima memandangkan faktor usia tertuduh selain anak guamnya itu menghidapi penyakit prostat dan batu karang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI