fbpx
Gambar hiasan

Jaga mulut, jadilah artis ada kelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru 16 hari kalender 2024, termometer gelanggang seni tanah air sudah menggelegak dengan pelbagai kisah panas.

Paling hangat diperkatakan sudah tentulah kontroversi dicetuskan pelakon sensasi, Fatiya Latiff yang menyamakan wajah aktres, Zahirah Macwilson de­ngan pembantu rumah.

Bagaikan bom meledak kuat, kata-kata meluncur keluar dari mulut pelakon yang dahulunya pernah popular dan dipuja ramai kerana bakat serta kecantikannya itu mengejutkan netizen dan rakan artis.

Provokasi berterusan dilakukan Fatiya terhadap Zahirah tidak berakhir di situ apabila bertindak menyerang bekas kekasihnya, Aiman Hakim Ridza yang kini bahagia di sisi Zahirah sehingga menjadi topik hangat dalam media sosial dan media massa.

Benarlah kata orang lama, kerana mulut badan binasa. Dek kerana dendam yang masih tersisa terhadap Aiman, Fatiya seakan hilang pertimbangan mengeluarkan ke­nyataan buruk terhadap

Zahirah dan aktor itu sehingga memakan diri apabila dia kemudian diserang dari pelbagai sudut oleh netizen yang mengikuti perkembangan ‘drama memalukan’ itu.

Begitu juga dengan kenyataan kontroversi Datuk Rosyam Nor menerusi podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik dalam TikTok Suhan Channel menyokong kewujudan pusat pelacuran bagi ‘kemudahan’ warga asing lelaki sekali gus membendung jenayah rogol membabitkan kelompok itu mencetuskan kemarahan ramai.

Bukan sekadar menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat bahkan ramai bijak pandai, agamawan bahkan menteri tampil ‘menegur’ aktor terkenal itu.

Dua insiden ini bagi saya sewajarnya dijadikan iktibar terutama buat mereka yang masih ‘hijau’ dalam industri seni. Bergelar selebriti bukan lesen besar untuk bertindak sesuka hati, meluahkan bicara dan pandangan tanpa ­memikirkan impaknya.

Barangkali ada yang terlupa, apabila menjadi ‘public figure’ kalian merupakan contoh buat masyarakat. Ramai menyanjungi dan menjadikan kalian idola hidup mereka.

Pada saat melangkah masuk dalam industri, ada tangggungjawab besar yang tergalas di bahu, bukan sekadar merealisasikan cita-cita bergelar pelakon atau penyanyi mahupun mengejar populariti tetapi lebih daripada itu.

Suka atau tidak, itu ‘bayaran’ apabila menjadi selebriti. Ada yang harus kalian pulangkan kepada masyarakat atas segala sokongan dan kasih sayang yang diberikan. Justeru, tonjolkan sisi terbaik kalian dalam apa cara sekali pun.

Apabila mengeluarkan kenyataan kontroversi ia bukan sahaja memberi kesan kepada empunya diri bahkan industri dan komuniti. Apatah lagi pada zaman digital ini akan tular sepantas kilat, natijahnya reputasi kalian terjejas dan rasa hormat masyarat juga akan hilang.

Tidak dinafikan kontroversi juga antara tools kepada publisiti. Tapi jadilah artis yang ada kelas, sekarang sudah 2024, banyak cara lagi untuk mengekalkan kewujudan dan populariti dalam industri.

Sebelum menoktahkan penulisan kali ini, saranan saya kepada rakan artis, bijaklah memilih kata-kata, fahami sensitiviti masyarakat serta batasan dalam melontarkan pandangan kerana ia mencerminkan keperibadian dan tahap intelektual kalian. Moga 2024 bawa lebih kejayaan buat kita semua. Insya-Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN