TIADA lagi waktu bermalas-malasan atau ‘healing’ bersenang-senang, pembuka tirai tahun 2024 memberi keterujaan berganda-ganda buat selebriti serba boleh, Naim Daniel untuk berkarya mencipta kelainan agar kanvas seninya lebih bermakna dan penuh warna.
Buat Naim Daniel, tahun ini disifatkan sebagai ‘tahun sibuk’ memandangkan jadual kerjanya telah penuh terisi, sejak dari awal hingga ke akhir tahun.
Bahkan, tahun 2024 juga dianggap penyanyi, komposer dan pelakon itu sebagai tahun paling mencabar.
Semua itu terhampar dek agendanya mahu menembusi pasaran muzik seberang, Indonesia yang juga mahu direalisasikan tahun ini.
Selain bakal tampil dengan lima buah single baharu yang telah siap dirakamkan di Jakarta, keterujaan Naim makin melonjak apabila tahun ini juga, dia bakal hadir dengan sebuah lagu duet
istimewa bersama Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
“Tahun ini dianggap sebagai tahun yang agak mencabar kerana saya bakal keluarkan beberapa produk baharu.
“Paling membuatkan saya teruja, apabila saya bakal hadir bersama single duet dengan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.
“Lagu ini juga merupakan karya yang memperkenalkan semula beliau dalam industri selepas sekian lama tidak hadir dengan lagu baharu genre balada,” kata Naim.

Duet Raja Pop
Ujar pemilik nama lengkap Muhammad Naim Daniel Baharin itu, dia sangat bersyukur apabila hasrat duet disambut baik penyanyi berusia 65 tahun itu. Dalam masa sama, Naim sebenarnya gusar dan mengibaratkan pelantun Kekasih Awal Dan Akhir itu tidak ubah seperti ikan keli.
“Saya sifatkan Datuk Jamal sebagai ikan keli sebab memang susah nak dapat. Bukan kerana dia memilih atau cerewet, tetapi sebab jadualnya terlalu sibuk.
“Saya sendiri yang menghantar mesej melalui Instagram kepada beliau dan luahkan hasrat untuk berduet dengannya.
“Alhamdulillah, perjalanannya sangat mudah. Malah beliau sendiri terbuka dengan apa sahaja cadangan saya dan ikut sahaja.
“Saya yakin, ramai yang akan merindui suara beliau untuk menyanyikan lagu berentak balada.
“Insya-Allah, lagu ini akan dikeluarkan selepas Aidilfitri nanti,” ujarnya.
Selain keterujaan Naim tampil duet bersama Raja Pop, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) menerusi lagu Sumpah itu juga bakal melebarkan sayapnya ke negara seberang apabila bakal tampil dengan projek istimewa bersama pemuzik di sana.

istimewa dirangka dan bakal dilaksanakan.
Ke seberang
Kata Naim, terdapat lima buah lagu telah pun siap dirakam di Indonesia dan antara judulnya bakal menampilkan duet bersama seorang penyanyi wanita.
“Selain projek bersama Datuk Jamal, saya juga bakal tampil dengan lima buah lagu baharu yang dirakamkan di Jakarta, Indonesia.
“Projek ini adalah kerjasama antara saya dengan Sony Music Indonesia.
“Salah satu yang bakal dikeluarkan nanti merupakan sebuah lagu duet bersama seorang penyanyi wanita seberang.
“Ini merupakan cara untuk saya menembusi pasaran muzik di sana.
“Alhamdulillah, saya dihadirkan dengan insan-insan hebat yang banyak membantu melancarkan projek di Indonesia.
“Sudah tentu saya sangat teruja dan tidak sabar untuk berkongsi bersama peminat,” katanya.

Album
Disoal soal perancangan mengeluarkan album, sebagai penyanyi, Naim juga mengimpikan peluang memiliki sebuah album penuh.
Bagaimanapun, lelaki berusia 27 tahun itu mengakui untuk hadir dengan sebuah album bukan suatu hal mudah kerana memerlukan perancangan teliti dan masa yang panjang.
“Siapa yang tidak mahu? Tapi saya harus akui untuk keluarkan sebuah album bukan satu proses mudah.
“Walaupun tahun ini saya bakal keluarkan beberapa buah single, namun biarlah saya beri fokus dulu terhadap apa yang telah dirancang.
“Buat masa ini, saya beri peluang kepada penyanyi lain untuk keluarkan album. Lagi pun untuk realisasikan impian tersebut bukan ambil masa sehari dua. Kena fikirkan juga konsep dan sebagainya,” katanya.
Bercakap tentang kerjaya lakonan pula, tahun ini Naim tidak banyak mengambil projek lakonan kerana mahu memberi laluan terhadap kerjaya muzik.
“Tahun ini saya hanya ada dua projek lakonan. Satu filem dan sebuah lagi drama bersiri.
“Untuk projek filem ini juga saya anggap cukup istimewa kerana bakal muncul dalam sebuah naskhah bercorak adiwira.
“Saya sangat bangga dapat bergandingan dengan pelakon yang bakal membintangi filem itu nanti,” tutupnya.















