fbpx

Tiga sekawan didakwa rompak 6 ekor ayam guna pistol, pedang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Muhammad Shafie (dua dari kiri), Mohd. Ariffadilan (tengah) dan Mohd. Zurmi (dua dari kanan) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Tiga sekawan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan menggunakan pistol dan pedang sebelum melarikan enam ekor ayam sabung milik seorang lelaki kira-kira dua bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Shafie Mukhtar, 31, Mohd. Ariffadilan Ismail, 38, dan Mohd. Zurmi Mat Hassan, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki yang bekerja sebagai buruh itu didakwa dengan niat bersama melakukan rompakan berkumpulan bersenjata pistol dan pedang ke atas Muhamad Faris Norhalim, 24, sebelum melarikan enam ekor ayam milik lelaki itu.

Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu di sini, kira-kira pukul 11.30 malam pada 18 November lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu mereka tidak mengganggu saksi.

Mahkamah turut menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan semula kes.Ketiga-tiga tertuduh tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI