ADA apa pada status Olimpian? Berbaloikah ahli sukan berjuang sepanjang karier hanya kerana mahu mengejar beraksi di Sukan Olimpik?
Jawapannya sangat berbaloi kerana tiada perasaan dapat menggambarkan kepuasan seseorang atlet apabila menjejakkan kakinya di pentas sukan berprestij dunia itu.
Banyak manfaat dan kelebihan kepada mereka yang bergelar Olimpian, lebih-lebih lagi kalau berjaya naik podium kerana sudah ada jaminan wang pencen di hari tua nanti.
Selagi masih menabur bakti buat negara, mereka yang meraih pingat menerima kadar gaji dan elaun lumayan berjumlah RM7,500 bagi pemenang emas, RM7,000 (perak) dan RM6,500 (gangsa).
Kalau hanya membazir masa dan tenaga, tidaklah atlet-atlet sanggup berpanas, bermandi hujan di tengah-tengah padang, apatah lagi mereka yang bergelar semi profesional seperti pemain hoki kebangsaan.
Namun, tidak semua mengejar wang ringgit kerana realitinya bukan mudah, tetapi kepuasan di wajah atlet-atlet ini berjaya menggapai impian tanpa sedikit pun rasa menyesal walaupun sekadar menyertai apabila melabuhkan karier nanti.
Inilah sebenarnya yang dikejar oleh skuad hoki kebangsaan terutama pasukan lelaki bimbingan A. Arul Selvaraj yang akan membuka kempen Kelayakan Olimpik menentang China di Muscat, Oman pada pukul 10.30 malam ini.
18 pemain yang dipilih barisan kejurulatihan membawa misi cukup besar bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi buat diri sendiri kerana mampu mengubah taraf hidup mereka jika layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan.
Jika sebelum ini ada segelintir memperlekehkan kegagalan mereka pada Sukan Asia Hangzhou, sekarang adalah waktu tepat untuk Speedy Tigers bangkit menutup segala kritikan.
Atas kertas, peluang cerah mara ke separuh akhir sebagai dua terbaik Kumpulan A kerana China dan Pakistan sebelum ini adalah ‘makanan’ buat Malaysia kecuali Great Britain yang sememangnya dalam kelas berbeza.
Namun, kini tidak lagi selepas kegagalan Malaysia menewaskan dua seteru Asia itu pada Sukan Asia Hangzhou yang lalu kerana sedikit kelekaan mengundang padah.
Jadi para pemain wajib memberikan segala-galanya sekalipun perlu menadah badan dan muka memastikan bola tidak menerjah ke gawang dalam misi merebut tiga tiket sahaja ditawarkan pada Kelayakan Olimpik ini.
Jangan sia-siakan peluang keemasan kali ini untuk menamatkan penantian 24 tahun hoki negara beraksi di Sukan Olimpik sejak kali terakhir Malaysia melakukannya pada edisi 2000 di Sydney, Australia.
‘Ganjaran’ sudah menanti mereka jika layak ke Olimpik Paris kerana hoki pastinya akan disenaraikan semula dalam program Road to Gold dan membolehkan pemain kembali menikmati elaun yang ditarik sebelum ini.














