fbpx

Pendekar Awang kutip setengah juta dalam tempoh 12 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Januari lalu.

PETALING JAYA – Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah berjaya meraih kutipan panggung sebanyak RM500,000 hanya selepas 12 jam ditayangkan.

Berita gembira itu dikongsikan pihak produksi Studio Kembara yang menyifatkan hasil kutipan yang diperoleh cukup memberangsangkan.

“Sokongan anda inspirasi kami. Terima kasih kepada semua penonton. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, dalam masa 12 jam sahaja, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah telah berjaya mengumpul RM500,000 kutipan.

“Ayuh menonton filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di pawagam terdekat anda,” tulisnya dalam Instagram.

Pelakon Fazura yang turut membintangi filem tersebut di samping suaminya, Fattah Amin yang memegang watak utama, turut melahirkan rasa syukur dengan kejayaan awal filem yang diarahkan oleh pengarah, Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Md. Dali itu.

“Masya-Allah. Segala puji hanya milik Allah SWT atas kurniaan kejayaan awal buat 12 jam pertama filem Pendekar Awang.

“Ucapan terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia tercinta yang sudi menonton filem ini. Saya sendiri masih mencari waktu untuk menonton berkali-kali lagi.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah mendapat respons positif daripada peminat sinema tanah air.

“Syabas buat seluruh pelakon, pengarah dan tenaga kerja Pendekar Awang,” tulisnya dalam Instagram.

Hasil tinjauan Kosmo! Online mendapati, rata-rata penonton yang telah menyaksikan filem tersebut, berkongsi rasa puas hati terhadap karya yang menelan kos sebanyak RM15 juta itu.

“Alhamdulillah dan tengok. Terbaik dan puas hati. Saya beri lima bintang untuk semua pelakon. Terubat rindu nak tengok Fazura berlakon. Tolong teruskan,” kata seorang netizen.

“Sumpah menangis tengok filem ini. Anak-anak muda, siapa lagi yang mahu pertahankan tanah air kita kalau bukan anda sendiri. Teruskan berjuang,” ujar seorang lagi netizen.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah mengisahkan tentang usaha Tok Gajah ke Terengganu bagi mendapatkan sokongan dan bantuan pahlawan serta Sultan Terengganu.

British yang mendapat tahu perkara itu cuba menangkap Tok Gajah dan Awang menyebabkan mereka berdepan pertempuran sengit dalam usaha memastikan misi tersebut terlaksana.

Selain Fattah Amin dan Fazura, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang mula ditayangkan bermula 11 Januari lalu turut dibintangi Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amerul Affendi dan Hasnol Rahmat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI