fbpx

Peluang pemain hoki lamar kelab Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD hoki wanita negara akan memulakan kempen Kelayakan Olimpik menentang Sepanyol di Estadio Betero petang ini.

BARISAN pemain hoki wanita negara perlu memanfaatkan peluang beraksi dalam Kelayakan Olimpik di Valencia, Sepanyol ketika ini dengan menjadikan pentas itu sebagai platform terbaik untuk mereka memikat kelab-kelab Eropah.

Biarpun Malaysian Tigress tidak diletakkan harapan untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis pada Julai nanti, namun aksi pertama Kumpulan B menentang Sepanyol petang ini tetap dilihat penting buat barisan pemain negara.

Ketua jurulatihnya, Nasihin Nubli Ibrahim percaya ramai peninjau bakat akan ‘turun padang’ apabila ada kejohanan diadakan di bumi Eropah untuk memantau pemain-pemain yang berpotensi diserapkan ke kelab-kelab di seluruh Eropah.

“Memang selalunya bila kejohanan antarabangsa diadakan di Eropah, kelab-kelab di sana akan banyak (keluar) mencari pemain. Kalau mereka berikan aksi terbaik dan menarik minat kelab-kelab luar, tiada masalah sebab kita ambil pendekatan terbuka.

“Presiden MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) Datuk Seri (Subahan Kamal) sendiri pun ada me­nyampaikan hasratnya kepada kami nak hantar pemain-pemain ke luar negara. Sekarang (pemain) boleh dikira pengalaman juga walaupun tak luas lagi.

“Apapun, saya nak mereka berikan persembahan terbaik buat negara dan fokus kepada aksi kelayakan terlebih dahulu,” kata Nasihin.

Malaysian Tigress, No.18 ­dunia, dijangka berdepan tugas sukar menentang Sepanyol di Estadio Betero petang ini, apatah lagi apabila turun tanpa ramai tonggak seperti pakar flik, Nuraini Abdul Rashid dan pe­nyerang, Hanis Nadiah Onn.

Bagaimanapun, Nasihin tetap yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk mengejutkan lawan di ranking kelapan dunia itu dengan kehadiran penyerang, Nuramirah Syakirah Zulkifli dan pemain tengah, Kirandeep Kaur Gurdip Singh.

“Amirah dah bebas daripada kecederaan, tetapi kita tetap berjaga-jaga kerana risau ia boleh berulang. Bagusnya kali ini kita dapat semula Kirandeep yang terlepas dua kejohanan terakhir kerana fokus kepada pelajaran perubatannya.

“Dia terlepas Sukan Asia Hangzhou dan ACT (Trofi Juara-Juara Asia), tetapi kepulangannya boleh nampak memberikan impak yang besar kepada bahagian tengah pasukan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI