fbpx

Bas bawa 29 penumpang terbakar, seorang rentung, lima cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba bertungkus-lumus memadam bas ekspres dua tingkat yang terbakar di KM 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang penumpang maut, manakala lima lagi cedera selepas bas ekspres dua tingkat yang mereka naik terbakar dalam kejadian di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, difahamkan bas tersebut membawa seramai 29 penumpang warga Singapura.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Timbalan Penguasa Bomba II (KUP) Zahrul Azha Mokhtar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.55 pagi dan seramai 21 pegawai dan anggota bersama-sama jentera dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, terdapat sebuah bas yang telah terbakar sepenuhnya dan dimaklumkan kenderaan itu telah melanggar sebuah motosikal yang terbabas sebelum itu.

“Terdapat 30 mangsa termasuk seorang pemandu bas dan enam daripada penumpang mengalami kecederaan. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Melaka dengan menaiki jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), ambulans St. John dan kenderaan orang awam,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, pasukan bomba turut bertindak mencari dan mengesan mangsa lain di bahagian bawah bas dan di sepanjang laluan lebuh raya sejauh 150 meter.

“Penunggang motosikal terlibat dimaklumkan dapat dihubungi dan berada dalam keadaan selamat di lokasi lain berdasarkan nombor plat motosikal yang dijejaki pihak polis.

“Setelah membuat pemeriksaan, pasukan bergerak pulang ke balai selepas memastikan tiada lagi bahaya lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan nahas tersebut dan seorang penumpang maut akibat terbakar.

“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pegawai penyiasat,” katanya ringkas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI