fbpx

Banjir di Johor semakin pulih, hanya tinggal 1,495 mangsa di 14 PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG penduduk, Muhd Faiz Rajab mula mengemas rumah setelah air mulai surut setelah banjir melanda di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus berkurangan apabila setakat pukul 5 petang tadi, hanya seramai 1,495 mangsa masih ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding seramai 4,940 mangsa sebelum ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah terkini itu melibatkan 446 keluarga di lima daerah negeri ini.

“Mersing merekodkan jumlah mangasa paling ramai iaitu 611 mangsa di empat PPS, Kota Tinggi seramai 529 mangsa di lima PPS. Kluang seramai 227 mangsa di dua PPS, Segamat seramai 89 mangsa di dua PPS dan Batu Pahat seramai 39 mangsa di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor berkata, Jabatan Meteorologi bagaimanapun masih mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

“Dua sungai masih berada pada paras berbahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dan Sungai Linggiu di Kota Tinggi, manakala Empangan Labong di Mersing turut mencapai paras bahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI