fbpx

Malaysia perlu contohi Maghribi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara perlu menyerap semangat Maghribi yang berjaya mara ke pentas separuh akhir Piala Dunia pada kempen Piala Asia kali ini untuk membuktikan mereka bukan pasukan pelengkap jadual. – FB FAM

CERITA dongeng yang dicipta Maghribi sehingga layak ke separuh akhir Piala Dunia 2022 wajar dijadikan panduan buat Harimau Malaya untuk mencipta elemen kejutan di pentas Piala Asia kali ini.

Walaupun secara realitinya agak sukar untuk mara sehingga ke pusingan empat terbaik seperti dilakukan The Atlas Lions, anak buah Kim Pan-gon tidak wajar untuk terlalu menghormati pasukan lawan

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed, sejarah di pertandingan antarabangsa sebelum ini pernah menjadi bukti status sesebuah pasukan hanya berkisar kepada perkiraan atas kertas.

“Di Piala Dunia pun berlaku kejutan, siapa sangka Arab Saudi mampu kalahkan Argentina dan siapa duga Maghribi mampu mara hingga separuh akhir. Berdasarkan prestasi sekarang, saya cukup yakin kita mampu cipta kejutan.

“Jadi, dengan kualiti yang kita tunjukkan sekarang, inilah peluang terbaik untuk serlahkan semula Malaysia sebagai Harimau Asia. Paling penting sekarang adalah dapatkan keputusan baik pada perlawanan pertama,” katanya.

Keputusan seri 2-2 dengan Syria yang berada di ranking lebih baik pada aksi pemanas badan, awal pagi kelmarin terus menghadirkan keterujaan buat peminat dan pemerhati bola sepak negara untuk mengimpikan sejarah baharu.

Ini bukan kali pertama Harimau Malaya kecewakan negara di ranking lebih tinggi kerana pernah tewaskan Kyrgyzstan (ranking 98) 4-3, tundukkan India (102) 4-2 dan ikat China (79) 1-1.

Bagi jurulatih berpengalaman negara, Mohd. Azraai Khor Abdullah, Kim Pan-gon adalah seorang jurulatih yang cukup istimewa kerana memiliki naluri luar biasa setiap kali membentuk pasukan yang diinginkan.

“Saya dapat lihat ada sesuatu dalam percaturan Pan-gon dan ia sedikit berbeza dengan jurulatih lain. Setiap panggilan kebangsaan ada pemain baharu dan mungkin timbulkan pertikaian, namun bagi saya hanya dia yang menilai pemain.

“Percaturan yang dia buat sebelum ini memang membuahkan hasil dan kita pun menaruh harapan terhadap skuad kali ini. Buat masa ini kita serahkan kepada Pan-gon untuk buat kerja dia.

“Sekiranya strategi diatur dengan betul dan pemain dapat ikut perancangan jurulatih, kenapa tidak boleh (buat kejutan)?,” katanya

Sementara itu, pemain skuad Piala Asia 2007, Akmal Rizal Ahmad Rakhli merasakan pemain sekarang sudah terbiasa bermain di pentas tertinggi, malah Pan-gon juga pandai memberi keyakinan kepada anak-anak buahnya ketika bertemu lawan lebih baik.

“Sekarang kita ada pemain naturalisasi dan warisan berkualiti, malah jurulatih kita juga mampu membina skuad terbaik. Menerusi kualiti yang kita ada sekarang, inilah masa terbaik untuk kita mara jauh.

“Saya fikir Malaysia mampu buat kejutan, apatah lagi sekarang Bahrain dan Jordan tidak berada pada tahap terbaik, cuma dengan Korea Selatan mungkin agak sukar, tetapi paling penting pemain dapat ikut perancangan jurulatih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI