fbpx

Dua anggota polis ditahan disyaki rogol, samun pelajar kolej

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein Omar Khan.

AMPANG JAYA – Dua anggota polis ditahan disyaki melakukan jenayah samun dan rogol dalam kejadian di Bukit Ampang View, di sini, kelmarin.

Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing.

Katanya, kedua-dua pelajar kolej swasta tersebut dipercayai terlibat dalam kejadian pukul 10.09 malam itu.

“Ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di lokasi kejadian, mereka ditahan oleh dua suspek lelaki yang lengkap beruniform sebelum kedua-duanya dibawa ke lokasi berasingan.

“Salah seorang suspek bertindak merogol mangsa wanita manakala mangsa lelaki dibawa ke sebuah bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan polis yang diterima, Hussein berkata, kedua-dua suspek telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang, semalam.

Jelasnya, tahanan reman terhadap suspek dibenarkan selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan masih dijalankan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk berhubung kejadian untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222.

Tegas Hussein, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam mana-mana kes jenayah atau mana-mana salah laku. Siasatan akan dijalankan secara telus,” katanya.

Terdahulu, tular satu laporan polis berhubung seorang wanita warga asing mendakwa dirogol manakala rakan lelakinya diarah ke sebuah bank untuk mengeluarkan sejumlah wang selepas ditahan dua orang anggota penguatkuasa.

Kejadian tersebut berlaku selepas kedua-dua mangsa diperiksa dua anggota polis ketika berada di dalam sebuah kereta di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI