KUALA PILAH – Misteri ketukan tanpa salam kini menyelubungi penduduk di Kampung Kepis Ulu dan Hilir, di sini sejak 31 Disember tahun lalu selepas beberapa bulan lamanya gangguan itu tidak dilaporkan berlaku di negara ini.
Penduduk kampung itu mendakwa, sebanyak 27 buah rumah telah menjadi mangsa ketukan sehingga kejadian terbaharu melibatkan tiga buah rumah malam kelmarin.
Mereka juga percaya kejadian itu berkemungkinan besar ada kaitan dengan ilmu hitam kerana ada individu yang ingin menguji kekuatan ilmu berkenaan.
Seorang penduduk, Noreen Nor Mohd. Nor, 38, berkata dia sekeluarga kini masih berada dalam ketakutan kerana teringat-ingat kejadian itu.
Menurutnya, gangguan pertama dialami anak sulungnya berusia 12 tahun pada malam tahun baharu dan kejadian terbaharu malam kelmarin yang dilalui adiknya, Norain Syafika, 27, kira-kira pukul 11 malam.
“Bunyi ketukan pada dinding papan sebanyak dua kali. Dia ketuk macam biasa sahaja. Ikutkan kami memang sudah letak surah Yasin di pintu, tingkap, tapi bunyi ketukan berlaku lagi.
“Kalau betul orang, harap ditangkap. Jika makhluk halus guna ilmu hitam, cari jalan lain,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Kepis Ulu, di sini semalam.

di rumahnya diketuk pada malam tahun baharu lalu.
Guru tabika itu berkata, dia bimbang jika ada orang cuba menggunakan ilmu hitam pada awal-awal tahun ini kerana langsung tiada jejak tapak kaki.
“Takut juga kalau dipukau, lebih-lebih lagi jika rumah tu hanya tinggal perempuan,” ujarnya.
Imam 2 Masjid Kariah Kepis Ulu, Mohd. Bakri Kassim, 63, berkata, rumahnya juga sudah menjadi sasaran ketukan sebanyak dua kali.
“Malam tadi (kelmarin) masa saya menonton cerita Tamil sekitar pukul 12 tengah malam, tiba-tiba pintu pagar saya digegarkan sebanyak empat kali.
“Saya tidak berani nak keluar, tapi dalam masa dua minit saya dengar bunyi motor penduduk barulah saya keluar. Memang tiada kesan dan penduduk juga cuba cari suspek terbabit di semak berhampiran, namun tiada jejak langsung,” katanya.
Ketua Peronda Sukarela, Mohd. Az Musa, 48, pula berkata, susulan kejadian itu, setiap hari sekitar 20 hingga 30 penduduk akan meronda di sekitar kampung sehingga awal pagi.
“Kami pun pelik sebab ada respon kita dalam masa seminit sahaja ke rumah mangsa, tetapi langsung tiada jejak angkara siapa. Kalau manusia mesti tinggal jejak,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Gani mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian ketukan misteri itu dan pihaknya kini melaksanakan rondaan bersama.














