fbpx
NEYMAR (kanan), Henderson (tengah) dan Jota antara pemain yang dilaporkan gagal menyesuaikan diri dengan aksi di SPL dan bersedia untuk meninggalkan Arab Saudi biarpun menerima pendapatan yang cukup lumayan. - AFP

Liga Arab Saudi sekadar ‘percutian indah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUSIM panas lalu menyaksikan gelombang luar biasa berlaku dalam pola bola sepak dunia, apabila berbondong-bondong pemain dari Eropah memilih untuk meneruskan karier di Liga Profesional Arab Saudi (SPL).

Seramai hampir 30 pemain berprofil tinggi memilih untuk beraksi di liga negara tersebut yang pastinya bukanlah kerana kualiti, tapi sudah semestinya disebabkan tawaran pendapatan yang terlalu lumayan dan sukar untuk ditolak.

Bagi penganjur SPL dan kelab-kelab di sana, ia merupakan jalan pintas untuk menjadikan liga tersebut meraih tumpuan dalam tempoh segera ketika Arab Saudi juga berhasrat untuk membida penganjuran Piala Dunia 2030.

Bagaimanapun, selepas enam bulan beraksi di liga berkenaan, sudah ada kedengaran mengenai pemain-pemain yang mula merindukan aksi di Eropah dengan alasan tidak mampu menyesuaikan diri dan beberapa faktor lain.

Pemain Portugal, Jota hanya sempat menyertai Al-Ittihad untuk tempoh sebulan sebelum kembali ke kelab asalnya, Celtic secara pinjaman untuk tempoh semusim selepas dibeli dengan harga £25 juta (RM147.77 juta) dan menjadi rekod pemain termahal pernah dijual kelab Scotland itu kerana tidak dapat menyesuaikan diri.

Bintang Brazil, Neymar yang sedang berehat panjang akibat kecederaan lutut serius juga tidak bersedia untuk beraksi lama di SPL apabila dikatakan enggan menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Al-Hilal.

Lebih mengejutkan, dia juga dilaporkan bersedia untuk meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini dan kembali ke kelab lamanya, Santos bagi memastikan tempatnya ke saingan Piala Dunia 2026 terjamin.

Sementara itu, spekulasi terbaharu melibatkan kapten Al-Ettifaq, Jordan Henderson yang dilapor sanggup kehilangan pendapatan sebanyak £700,000 (RM4.14 juta) seminggu untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris.

Bekas perancang utama Liverpool itu dilaporkan kecewa dengan prestasi semasa kelab berkenaan yang gagal meraih sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir selain terpaksa bergelut dengan masalah cuaca panas serta kelembapan yang mempengaruhi prestasinya di padang.

Bagaimanapun, salah satu faktor yang mempengaruhi semangat para pemain yang semakin tawar untuk beraksi di Arab Saudi adalah disebabkan sokongan peminat di negara itu yang suram berbanding persekitaran di Eropah.

Secara purata, kehadiran peminat untuk aksi SPL adalah sebanyak 8,470 orang, malah ada sesetengah perlawanan hanya dihadiri 1,000 peminat sahaja termasuk ketika kelab diwakili Henderson tewas 0-1 kepada Al-Riyadh yang hanya dihadiri 696 penyokong sahaja.

Kehadiran Cristiano Ronaldo bersama Al-Nassr juga tidak melonjakkan semangat peminat apabila hanya mencatat purata kehadiran seramai 20,615, malah ia lebih rendah berbanding aksi melibatkan pasukan Liga Satu England, Derby County (26,329) dan Bolton Wanderers (20,935).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN